home Semasa Jangan sentuh kesucian Islam, perlekeh institusi Raja: Sultan Mizan

Jangan sentuh kesucian Islam, perlekeh institusi Raja: Sultan Mizan

 

KUALA TERENGGANU – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan rasa bimbang dengan tindakan pihak tertentu yang berani menyentuh kesucian agama Islam di samping memperlekehkan institusi diraja.

Baginda bertitah, pelbagai perkara yang berlaku di negara ini akhir-akhir ini seolah-olah menggambarkan wujudnya golongan yang mahu menggugat keharmonian, keamanan dan kestabilan yang telah terbina sekian lama di Malaysia.

“Ada pihak yang berani melakukan perkara-perkara yang menyentuh kesucian agama Islam, memperlekehkan institusi diraja dan banyak lagi perkara yang berpotensi mengakibatkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Beta selaku ketua agama di negeri ini mahu pihak yang ber­kenaan mengambil langkah berjaga-jaga supaya perkara-perkara seperti itu tidak menular di negeri ini,” titah baginda dalam Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-14 di Wisma Darul Iman di sini pada Isnin.

Yang turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Sultan Mizan bertitah, kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar perlu terus komited memartabatkan agama dan umat Islam menerusi gerak kerja profe­sional bagi menangkis sebarang fitnah dan tuduhan jahat sekali gus membuktikan kemampuan sebenar sistem Islam sebagai al-Din.

Baginda turut menyatakan rasa sukacita kerana kepemimpinan Ahmad Samsuri berjaya mengamalkan budaya matang dan sejahtera sekali gus mewujudkan semangat perpaduan dan kekitaan dalam kalangan wakil rakyat dengan masyarakat tanpa mengira mana-mana parti ke arah menjadikan Terengganu sebagai negeri paling harmoni di Malaysia.

“Beta menyeru supaya ketepikan politik kepartian dan berilah keutamaan kepada agenda rakyat dan pembangunan negeri. Beta ingin melihat negeri ini setaraf dengan negeri maju lain,” titah Sultan Mizan.

Baginda juga mahu kerajaan negeri memberi penekanan terhadap pembangunan seimbang antara daerah terutama di Setiu, Hulu Terengganu dan Besut yang perlu diberi suntikan baharu kerana jumlah pendapatan isi rumah yang direkodkan pada tahun 2016 di ketiga-tiga daerah berkenaan masih jauh ketinggalan.

Oleh itu, baginda mencadangkan agar pembangunan ekonomi di daerah tersebut dirancang berdasarkan kekuatan setempat khususnya dalam sektor pertanian dan pelancongan.

Titahnya, peruntukan yang mencukupi dan usaha berterusan hendaklah dilaksanakan untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur, pemulihan tanah terbiar dan memperkasakan bidang pertanian.

Sultan Mizan dalam titah ucapannya turut menyentuh mengenai pembinaan jambatan angkat bernilai RM248.73 juta yang mampu menyuraikan aliran trafik dari pusat bandar Kuala Terengganu ke Kuala Nerus.

Titah baginda, ikon baharu pelancongan negeri yang dijangka siap bulan ini itu dapat mengatasi masalah kesesakan di Jambatan Sultan Mahmud pada waktu puncak.

“Beta juga difahamkan kemajuan fizikal pembangunan Bandar Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus dan juga pembangunan infrastruktur di Bandar Baharu Kijal, Kemaman Fasa 2 berjalan lancar dan mendahului jadual. Beta yakin kedua-dua projek ini apabila siap akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pembangunan dan ekonomi penduduk,” titah baginda. – Utusan Malaysia

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

One thought on “Jangan sentuh kesucian Islam, perlekeh institusi Raja: Sultan Mizan

  1. Jangan sentoh kesucian Islam (الاءسلام) bermaksud – Jangan melakukan @ berlaku Syirik : merampas, mendahaului, sekutui serta diadakan tandingan & bandingan bagi hak & kekuasaan mutlak zat Allah serta tidak menjadikan hak & kekuasaan mutlak zat Allah sebagai hak diri, keturunan, kaum, puak, jama’ah, partinya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *