home Kolumnis, Semasa Kekeliruan liberal tentang Israk Mikraj

Kekeliruan liberal tentang Israk Mikraj

 

1. Sebahagian liberal menyatakan bahawa kejadian Israk Mikraj hanyalah berlaku melalui mimpi Rasulullah sahaja. Mereka mengeluarkan pandangan tersebut dengan kenyataan yang dikatakan bersumber dari Saidatina Aisyah yang menyebutkan:

مَا فُقِدَ جَسَدُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَلَكِنَّ اللَّهَ أَسْرَى بِرُوحِهِ

“Tidak hilang jasad Rasulullah (pada malam Israk Mikraj) akan tetapi Rasulullah berlakunya Israk Mikraj ini secara ruhnya sahaja.” (Diriwayatkan oleh Ibn Hisham di dalam Sirah Nabawiyyah).

 

No photo description available.

 

2. Kenyataan yang disandarkan kepada Saidatina Aisyah ini telah dinilai daif oleh ramai sarjana Muslim termasuklah Sheikh Alawi al-Saqqaf (Takhrij Ahadith al-Zilal) dan Sheikh al-Albani. Malah Sheikh Muhammad Rashid Rida menyebutkan:

قد تجد حديثين عن عائشة ومعاوية ، يُفْهِمان أن الإسراء لم يكن بجسده الشريف ، وهما حديثان ليسا مما يحتج بمثلهما أهل العلم بالحديث

“Kamu akan mendapati dua hadith yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah dan Saidina Muawiyyah, yang mana kedua hadith tersebut seolah menyatakan peristiwa Israk tidak berlaku dengan jasad Rasulullah. Kedua-dua hadith ini adalah hadith yang tidak dijadikan hujah oleh ahli ilmu di dalam bidang hadith.” (Majalla al-Manar)

Sekiranya ia berlaku di dalam mimpi sahaja, maka ia tidaklah dinamakan sebagai mukjizat (sesuatu yang tidak boleh dilakukan oleh manusia biasa). Malah sekiranya Israk Mikraj ini sekadar mimpi sahaja, Abu Jahal barangkali tidak perlu membantah kerana ia hanyalah mimpi.

3. Bahkan mengapa kita perlu memakai riwayat yang daif ini sedangkan ramai sarjana Muslim mengesahkan bahawa kejadian Israk dan Mikraj ini berlaku secara jasad melalui riwayat yang mutawatir.

Menurut al-Imam al-Qastalani, hadith Israk Mikraj adalah hadith mutawatir iaitu seramai 26 orang sahabat meriwayatkan hadith tersebut. Pandangan yang sama turut dinyatakan oleh sarjana Muslim yang lain termasuklah Sheikh Shanqiti dan al-Imam Ibn al-Qayyim.

4. Kisah-kisah ini, sekalipun maknanya aneh, tetapi ia disampaikan dengan jalan yang mutawatir. Sama seperti al-Quran, pengriwayatannya dilakukan dengan melalui riwayat mutawatir. Dalam al-Quran, Allah turut menampilkan kisah-kisah aneh dan kita boleh pula menerimanya. Antara kisah ajaib yang dinukilkan di dalam al-Quran:

a- Tongkat Nabi Musa yang membelah laut. Tongkat Nabi Musa menjadi ular. Tangan Nabi Musa bercahaya.

b. Nabi Isa bercakap ketika bayi. Nabi Isa boleh menghidupkan yang telah mati.

c. Nabi Ibrahim tidak terbakar bila dicampak ke dalam api.

Walaupun, kisah-kisah ini gambarannya aneh, tetapi manusia beriman dengannya dan ia datang dengan jalur riwayat mutawatir. Sama seperti hadith Israk Mikraj, ia dinukilkan melalui kaedah yang sama iaitu riwayat mutawatir. Lalu Muslim beriman dengannya.

5. Apa yang penting adalah mesej yang ingin disampaikan oleh Allah melalui peristiwa ini. Sama “nature” nya seperti al-Quran, hadith ini menyampaikan beberapa mesej utama yang perlu kita hayati.

Semoga Allah membimbing kita semua.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *