home Semasa Mahkamah Sivil terikat dengan dapatan Majlis Penasihat Syariah BNM

Mahkamah Sivil terikat dengan dapatan Majlis Penasihat Syariah BNM

 

PUTRAJAYA – Mahkamah Sivil terikat dengan dapatan Majlis Penasihat Syariah (MPS) Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai kewangan Islam, demikian diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Keputusan majoriti 5-4 oleh panel sembilan hakim memutuskan Seksyen 56 dan 57 Akta Bank Negara 2009 (CBMA) yang memberi kuasa kepada MPS bagi menentukan undang-undang Islam adalah berperlembagaan.

Mahkamah menyampaikan keputusan itu berhubung rujukan persoalan isu perlembagaan susulan pertelingkahan komersial dalam lima perjanjian di bawah kemudahan perbankan Islam antara Kuwait Finance House (Malaysia) Berhad (KFH) dan syarikat perkapalan JRI Resources Sdn Bhd (JRI) dan tiga penjamim.

Keputusan majoriti itu dibuat oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Ahmad Maarop dan hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Azahar Mohamad, Tan Sri Ramly Ali, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin dan Datuk Mohd Zawawi Salleh.

Pengerusi panel, Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum membantah bersama-sama dengan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk David Wong Dak Wah dan Tan Sri Idrus Harun.

Penghakiman majoriti itu disampaikan oleh Hakim Mohd Zawawi.

Beliau berkata peraturan yang diluluskan oleh MPS adalah berbentuk dapatan pakar dalam hal berkaitan kewangan Islam.

”Ahli-ahli MPS amat berkelayakan dalam bidang syariah, ekonomi, perbankan, undang-undang kewangan. Keputusan MPS boleh dianggap sebagai ijtihad kolektif untuk menyediakan ketekalan dan kepatuhan,” katanya

Beliau berkata MPS hanya sebagai penasihat yang peranannya memberi pendapat mengenai soalan yang dirujuk kepadanya mengenai undang-undang syariah dalam hal perbankan dan kewangan Islam dan oleh itu tidak ada cubaan oleh badan eksekutif untuk mengambil alih kuasa kehakiman mahkamah.

Zawawi berkata usul mahkamah mempunyai hak untuk menerima dan menimbang bukti daripada pakar tidak dapat dipertahankan.

Dalam keputusan membantah, Malanjum berkata Seksyen 56 dan 57 Akta CMBA perlu dibatalkan kerana ia tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Beliau berkata keputusan MPS tidak tertakluk kepada sebarang mekanisme ‘periksa dan imbang’ dan keputusannya adalah muktamad berhubung isu-isu sama ada fasal dalam perjanjian itu patuh syariah.

“Ia akan menjadi penghinaan menyeluruh kepada doktrin pemisahan kuasa jika Parlimen dibenarkan mewakilkan kuasa perundangan kepada mana-mana cawangan kerajaan atau mana-mana badan pentadbiran,” katanya.

KFH memfailkan saman sivil terhadap JRI Resources untuk mendapatkan jumlah tertangguh pinjaman untuk perjanjian kemudahan Ijarah dan satu perjanjian Murabahah Tawarruq yang dimeterai antara mereka pada 2008 dan 2009.

KFH turut membuat tuntutan terhadap tiga penjamin.

Mahkamah Tinggi merujuk fasal yang bercanggah dalam perjanjian itu kepada MPS untuk menentukan sama ada mereka patuh syariah.

MPS memutuskan perjanjian itu sah dan patuh syariah. – Bernama

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *