home Semasa Pedulikan pandangan ‘gila’ selebriti Barat terhadap Brunei

Pedulikan pandangan ‘gila’ selebriti Barat terhadap Brunei

 

ISNIN lalu, di London, bintang pop legenda Britain, Elton John menggesa orang ramai memulaukan sembilan hotel milik Brunei, selepas negara itu mengumumkan bakal menguatkuasa hukuman mati terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan pesalah zina.

Gesaan itu dibuat ketika sebilangan ahli politik dan selebriti mengutuk penguatkuasaan undang-undang baharu berkenaan, dan menyokong tindakan pemulauan terbabit. Sehari sebelum itu, pelakon George Clooney turut mengeluarkan kenyataan serupa.

“Saya memuji rakan saya, #GeorgeClooney kerana mengambil pendirian tegas mengenai diskriminasi anti-gay dan ketaksuban yang berlaku di #Brunei, iaitu sebuah tempat yang bertindak kejam ke atas golongan gay atau lebih teruk lagi, dengan memboikot hotel milik Sultan (Brunei),” kata Elton John dalam akaun Twitternya.

Tindakan itu tidak menghairankan kita umat Islam. Sementelahan penyanyi pop berusia 72 tahun itu memang dikenali sebagai gay.

Sultan Brunei memiliki rangkaian Dorchester Collection’s termasuk Hotel The Beverly Hills dan Hotel Bel-Air di California. Lain-lain hotel baginda terletak di Britain, Perancis dan Itali.

Pada 2014, Brunei memperkenalkan undang-undang jenayah Islam, dengan denda atau penjara bagi kesalahan seperti hamil luar nikah atau tidak menunaikan solat Jumaat, tetapi menangguhkan perubahan lebih mendadak selepas mendapat bantahan antarabangsa.

Namun negara bekas jajahan Britain itu kini mendedahkan rancangan mengadakan undang-undang syariah bermula 3 April lalu dengan kanun keseksaan baharu yang melaksanakan hukuman rejam sampai mati atau sebat untuk kesalahan liwat, zina atau rogol dan memotong tangan atau kaki untuk kesalahan mencuri.

Pengumuman itu, dan terutamanya mensasarkan golongan LGBT mencetuskan kemarahan antarabangsa dengan ahli politik dan selebriti menggesa Brunei menggantung rancangan itu dengan segera.

Marilah kita umat Islam menyokong tindakan Brunei melaksanakan undang-undang syariah tersebut. Sepatutnya tidak harus wujud sedikit pun rasa gentar dalam diri pemerintah kerajaan Brunei dalam memastikan pelaksanaan hukum Allah di negara tersebut. Jadikan sabda Nabi SAW yang bermaksud: Sesiapa yang mencari reda Allah (walaupun terpaksa) dengan kemurkaan manusia, Allah akan mencukupkannya daripada bergantung kepada manusia, dan sesiapa yang mencari reda manusia dengan kemurkaan Allah, Allah akan membiarkannya kepada manusia (tanpa Dia menolongnya). (Riwayat at-Tirmizi)

Yakinlah pertolongan Allah pasti akan tiba apabila kita melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya. Dalam berhadapan golongan LGBT termasuk di Malaysia, sepatutnya ia tidak dipolemikkan. Sebabnya, pandangan Islam mengenainya sudah jelas. Ini ditegaskan oleh sabda Rasulullah SAW yang melaknat mereka yang menyerupai wanita daripada kalangan lelaki dan mereka yang menyerupai lelaki daripada kalangan wanita. (Riwayat Bukhari)

Laknat dalam hadis di atas adalah celaan yang sangat berat kepada pelaku. Ini menunjukkan betapa kerasnya larangan Rasulullah SAW terhadap perbuatan tersebut. Dalam kitab Fath al-Bari, al-Tabari menjelaskan laknat bermakna tidak harus iaitu haram. Adapun Syeikh Abu Muhammad bin Abi Hamzah berkata, laknat itu menunjukkan perbuatan tersebut adalah sebahagian daripada dosa-dosa besar.

Sebab itu, kerajaan mesti mengambil tindakan tegas ke atas golongan LGBT. Ia supaya perbuatan mereka itu tidak mempengaruhi masyarakat di negara ini. Membiarkan golongan sedemikian seolah-olah kita ‘bersetuju’ dengan mereka. Walhal, perbuatan golongan terbabit itu dilarang oleh Islam.

Pandangan Islam mudah iaitu kita tidak boleh bertolak ansur dengan LGBT kerana secara fitrahnya tidak ada manusia normal yang akan cenderung sesama sejenis. Sebab itu, ia mesti diatasi dengan dakwah dan secara prinsip­nya perlu segera dibendung supaya tidak datang mudarat yang lebih besar. Kesemua perlakuan seks di luar tabii jelas merupakan satu bentuk jenayah. Walaupun ia dilakukan secara ‘sembunyi-sembunyi’, melihat kepada situasi kini, implikasi dan wabak LGBT di negara ini tetap tersebar luas tanpa sekatan terutama menerusi laman media sosial.

Dalam hal ini, kerajaan perlu tegas dan melakukan sekatan terhadap sebarang aktiviti dan unsur-unsur kecelaruan jantina sebagaimana dilakukan oleh Indonesia dan Turki. Difahamkan, Turki mengharamkan segala aktiviti LGBT di ibu negaranya termasuk dalam bentuk ta­yangan filem, persembahan teater, seminar, kolokium dan seumpamanya berkuat kuasa 18 November 2017. Perarakan tahunan golongan gay dan setiap yang bertenta­ngan dengan nilai negara itu turut dilarang.

Demikian juga Indonesia yang turut mengharamkan unsur LGBT disiarkan di kaca televisyen termasuk slot program dan iklan yang memaparkan tingkah lalu LGBT. Mereka juga menghapuskan imej berbaur LGBT menerusi aplikasi WhatsApp termasuk menyekat akses kepada laman popular Tumblr yang mempromosikan pornografi.

Mohd. Radzi Mohd. Zin

Sumber: Utusan Malaysia

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

One thought on “Pedulikan pandangan ‘gila’ selebriti Barat terhadap Brunei

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *