home Semasa RUU Harmoni sisihkan keistimewaan agama Islam

RUU Harmoni sisihkan keistimewaan agama Islam

 

SENTIMEN Islamofobia dan prejudis antara agama kian meruncing di segenap pelusuk dunia. Susulan keganasan yang berlaku di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand pada 15 Mac lalu, wujud keperluan mendesak di pihak kerajaan agar keharmonian rakyat negara berbilang agama terjamin disamping mempertingkat tahap keselamatan negara.

Antara langkah diambil adalah melalui Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Agama (JKMPA). Pada 18 Mac lalu, mesyuarat JKMPA telah mengumpulkan ahli jawatankuasa terdiri daripada wakil pertubuhan agama, ahli akademik, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan belia dengan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa.

JKMPA bersetuju mengadakan himpunan kedamaian pada Sabtu, 23 Mac lalu sebagai tanda protes terhadap keganasan dan lambang solidariti rakyat Malaysia pelbagai agama. Antara intipati deklarasi yang diumumkan adalah menolak dan mengutuk sebarang tindakan diskriminasi atas dasar agama serta membina persekitaran yang aman dan damai.

Pada masa sama, kerajaan dilihat komited untuk mewujudkan Akta khusus bagi menangani konflik antara agama atau kaum dengan lebih ketat. Perkembangan ini disahkan Dr. Mujahid Yusof Rawa yang juga Menteri hal ehwal agama pada 27 Februari lalu.

Terbaru, Menteri hal ehwal undang-undang Liew Vui Keong dilaporkan berkata pada 18 Mac bahawa kemungkinan Rang Undang-Undang Harmoni akan direalisasi pada tahun ini. RUU Harmoni yang ingin digubal bertujuan menubuhkan sebuah suruhanjaya atau institusi yang berfungsi sebagai perunding cara dalam isu yang melibatkan antara agama.

Kita boleh mengambil contoh terdekat iaitu Singapura yang mempunyai Akta Mengekalkan Keharmonian Agama (MRHA) dalam membuat perbandingan. MRHA diperbuat pada tahun 1990 bertujuan mengekang ancaman yang boleh mengakibatkan prasangka dan konflik antara agama selain menubuhkan sebuah Majlis.

Pun demikian, penubuhan sebuah suruhanjaya antara agama yang diberi kuasa undang-undang di peringkat persekutuan dikhuatiri menimbulkan beberapa komplikasi terhadap Perlembagaan Persekutuan, undang-undang Persekutuan dan juga Negeri khususnya melibatkan agama Islam.

Antaranya, ia boleh mengakibatkan perebutan atau pencairan bidang kuasa ekslusif kerajaan Negeri berhubung agama Islam. Institusi seperti majlis agama Islam yang berperanan menasihati Majlis Raja-Raja selaku ketua agama Islam di jajahan takluk baginda tidak mungkin dapat berfungsi secara bebas dan sebaiknya.

Sedangkan Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa sesuatu Negeri boleh menubuhkan atau menyenggarakan institusi-institusi Islam atau mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang perlu bagi maksud itu.

Selain itu, penubuhan suruhanjaya berisiko mengganggu penguatkuasaan undang-undang negeri untuk memelihara kesucian Islam seperti Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 dan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988.

RUU Harmoni juga secara tidak langsung mengangkat naratif songsang mengenai konsep aman dan damai di bawah Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan serta menggugat keistimewaan Islam sebagai agama bagi Persekutuan.

Sungguhpun penganut lain-lain agama menikmati kebebasan untuk mengamalkan agama mereka, ia hendaklah tertakluk kepada syarat keistimewaan Islam. Ini sejajar dengan sumpah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 37(1) untuk memelihara agama Islam pada setiap masa.

Ini bermakna, sekiranya amalan sesuatu agama itu mengakibatkan keistimewaan Islam disisihkan atau dilunturkan maka amalan agama tersebut tidaklah menepati konsep aman dan damai yang diidamkan mengikut perlembagaan.

Premis ini konsisten dengan penghakiman oleh Yang Arif Tan Sri Mohamed Apandi Ali, Hakim Mahkamah Rayuan (ketika itu) dalam kes Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur v. Menteri Dalam Negeri.

Beliau memutuskan bahawa agama Islam merupakan salah satu daripada struktur asas Perlembagaan Persekutuan dan ketinggian Islam bererti ia dilindungi daripada sebarang bentuk ancaman.

Dewasa kini, ancaman terhadap kedaulatan Islam kian mekar. Terdapat segelintir pihak yang menyebarkan agama atau doktrin selain Islam kepada orang Islam walaupun ditegah menurut Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

Disamping itu, penyalahgunaan kalimah ekslusif untuk orang Islam oleh terbitan atau makalah agama selain Islam seperti kalimah Allah turut mengancam ketenteraman awam khususnya orang Islam.

Pengucapan kalimah seperti kufur, syirik dan seumpamanya untuk tujuan ceramah dan mendidik umat dituduh pula sebagai penghinaan terhadap agama lain yang boleh mencetuskan ketegangan.

Bahkan, pejuang hak asasi manusia acapkali mendakwa jabatan agama Islam mencabuli kebebasan beragama walaupun ia melibatkan penguatkuasaan enakmen jenayah syariah terhadap ajaran yang menyeleweng daripada Islam seperti Ahmadiyah, Syiah dan fahaman liberalisme serta pluralisme agama.

Ketika ini, kerajaan Singapura berhasrat memperketat MRHA bagi menangkis politik sempit berasaskan etnik, budaya dan agama hingga menimbulkan kegusaran.

Menteri Dalam Negeri dan Undang-Undang di Singapura, K Shanmugam juga menegaskan pendirian kerajaan Singapura untuk mengambil pendekatan sekular yang tidak memihak kepada mana-mana agama dan memisahkan politik serta pentadbiran daripada agama.

Selain memetik kebangkitan haluan ekstrem kanan di Perancis dan Jerman, beliau turut mengaitkan dengan peningkatan sokongan terhadap agenda politik berlandaskan kaum dan agama di rantau berdekatan.

Oleh yang demikian, penubuhan suruhanjaya antara agama dan penggubalan RUU Harmoni dikhuatiri mendukung konsep sekularisme yang mencabar keistimewaan Islam. Sungguhpun inisiatif menggalakan kesefahaman dan perpaduan masyarakat berbilang agama menjadi tanggungjawab kerajaan, ia tidak semestinya ditangani dengan undang-undang baharu.

Sebarang pindaan undang-undang sedia ada, sekiranya perlu, boleh dilakukan tanpa mendatangkan isu keperlembagaan. Malah, perhatian harus tertumpu kepada meningkatkan kesungguhan dalam penguatkuasaan dan kebijaksanaan di pihak berwajib dalam mendepani konflik antara agama.

Danial Ariff Shaari
Ahli Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *