home Semasa Program buka puasa di kuil Gurdwara Sahib diteruskan walaupun dibantah

Program buka puasa di kuil Gurdwara Sahib diteruskan walaupun dibantah

 

JOHOR BAHRU – Walaupun mendapat bantahan dan kritikan pelbagai pihak, Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir tetap meneruskan majlis buka puasa di Gurdwara Sahib di bandar raya ini.

Majlis Iftar Muhibbah itu berjalan lancar dan majlis tersebut diadakan di dewan utama rumah ibadat tersebut yang memuatkan kira-kira 30 meja besar dengan hampir 300 tempat duduk.

Kira-kira 250 hadir dalam majlis berbuka puasa tersebut termasuk komuniti Cina dan India termasuk wakil-wakil daripada Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan jemaah Masjid India Muslim Johor Bahru.

Antara yang hadir Presiden Gurdawara Sahib Johor Bahru, Manjit Singh Rakmu, Naib Presiden MACMA, Mohd. Shaiful Choo, Konsulat Jeneral Singapura di Johor Bahru, Rajpal Singh dan Timbalan Pengerusi Masjid India Muslim Johor Bahru, Muhyidin Hamid.

 

Image may contain: one or more people, people sitting, people eating and food

 

Akmal ketika ditemui berkata, pihaknya sedar majlis tersebut mendapat kecaman tetapi meneruskannya juga kerana tujuan penganjurannya adalah baik dan positif.

“Tujuan kita mengadakan dan meneruskan majlis berbuka puasa ini adalah untuk mengeratkan perpaduan dalam kalangan penganut Islam, penganut agama Sikh dan masyarakat kita secara keseluruhannya.

“Program seperti ini akan menjadikan kita saling memahami dan lebih mengenali antara satu sama lain, ini cabaran besar kita pada masa ini kerana ada pihak terus memainkan isu perkauman dan agama,” katanya.

Sebelum ini banyak pihak membantah penganjuran majlis berbuka tersebut hingga menjadi tular dalam media sosial kerana dikatakan tidak sesuai diadakan dalam rumah ibadat berkenaan.

Pada 10 Mei lalu, Ahli Parlimen Labis, Pang Hok Liong menyampaikan sumbangan dalam Masjid Tenang Stesyen, Labis, namun dituduh pihak tertentu berceramah politik.

Berikutan itu pada 16 Mei lalu Sultan Johor bertitah dan melahirkan kekecewaan terhadap perbuatan Hok Liong itu yang disifatkan Baginda sebagai biadab dan tidak beretika.

Selain itu, Ketua Biro Aduan MCA Johor, Michael Tay Chee Boon turut menyelar tindakan mengadakan program sumbangan dalam masjid sedangkan program seperti itu tidak pernah diadakan gereja, tokong atau kuil penganut agama berkenaan.

Akmal menolak dakwaan bahawa penganjuran program tersebut boleh menggugat akidah umat Islam kerana masing-masing sudah mempunyai kepercayaan dan anutan sendiri.

Beliau yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan berkata, usaha memupuk perpaduan perlu diteruskan dan kedatangannya ke rumah ibadat tersebut adalah atas jemputan merupakan kali kedua untuk berbuka puasa.

“Pada tahun lalu saya ada berbuka puasa di rumah ibadat ini tetapi bezanya tiada publisiti meluas seperti hari ini. Hari ini kita lihat kedatangan amatuar biasa,” katanya. – Utusan Malaysia

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *