home Kolumnis, Semasa Rawat penyakit dengan sedekah

Rawat penyakit dengan sedekah

 

1. Adakalanya telah pelbagai usaha kita dijalankan, namun penyakit yang ada masih tidak sembuh juga. Barangkali dalam situasi ini, mengamalkan hadith Nabi ini adalah salah satu penawarnya. Pesan Rasulullah:

دَاوُوا مَرضاكُمْ بِالصَّدقةِ

“Rawatlah pesakit kamu dengan sedeqah” (HR Abu Daud, dinilai Hasan)

2. Ya! Rasulullah menasihati kita supaya bersedeqah. Mudah-mudahan Allah berikan penawar buat sakit kita. Yang memberi dan menyembuhkan penyakit adalah Allah. Kita tidak tahu barangkali dengan sedeqah yang kita sumbangkan buat mereka yang susah akan menjadi sebab untuk Allah berikan kesembuhan kepada kita. Dalam perihal memberi, Allah berfirman:

وَمَا تُقَدِّمُوا لِأَنْفُسِكُمْ مِنْ خَيْرٍ تَجِدُوهُ عِنْدَ اللَّهِ هُوَ خَيْرًا وَأَعْظَمَ أَجْرًا

“Dan (ingatlah), apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah.” (al-Muzammil, 20).

 

 

3. Kita juga tidak tahu, barangkali ada dikalangan mereka yang menerima sumbangan itu akan sentiasa mendoakan kita. Mana tahu ada dikalangan mereka yang mempunyai doa yang makbul di sisi Allah. Barangkali kita berikan sedikit sumbangan kepada pelajar tahfiz yang sentiasa basah lidah mereka dengan al-Quran, lalu mereka mendoakan kita.

Atau kita sumbangkan beras kepada anak-anak yatim lalu mereka mendoakan kesejahteraan kepada kita. Barangkali dengan doa mereka Allah kurniakan kemudahan dan kesejahteraan buat kita.

4. Atas dasar itu sebahagian salafussoleh beramal dengan hadith ini. Menurut al-Imam al-Baihaqi, seorang lelaki telah datang kepada Abdullah ibn Mubarak bertanyakan tentang penyakitnya yang tidak sembuh. Dia telah berubat dengan ramai doktor, namun masih tidak sembuh. Abdullah ibn Mubarak lalu berpesan:

اذهب فانظر موضعًا يحتاج الناس إلى الماء، فاحفر هناك بئرًا

“Pergilah dan carilah tempat dimana manusia memerlukan air. Gali (dan sediakan) perigi disana” (al-Baihaqi, Syuab al-Imam)

Lalu lelaki tersebut membina perigi dikawasan manusia yang memerlukan air. Perigi tersebut telah menjadi sumber bagi orang kawasan tersebut untuk mendapatkan air. Tidak lama selepas itu, penyakit yang dimiliki oleh lelaki penyumbang tadi telah pun sembuh. (al-Imam al-Baihaqi, Syuab al-Iman)

Semoga Allah membimbing kita semua.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *