home Semasa Tak sah solat berimamkan Syiah: Mufti Pahang

Tak sah solat berimamkan Syiah: Mufti Pahang

 

BANGI – Tidak sah solat berimamkan individu berfahaman Syiah, ajaran yang menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan hukum syarak, kata Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman.

Beliau berkata, Syiah banyak puak, ada yang menyeleweng terus dan ada yang hampir-hampir dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Katanya, Syiah yang hampir dengan Ahli Sunnah ini boleh diterima, solat mereka sah, namun sedikit sangat yang tidak menyeleweng dengan empat mazhab utama.

“Sebahagian besarnya bercanggah. Jadi, kalau solat berimamkan Syiah yang memang bercanggah dengan Sunnah, solat tidak sah. Sebab rukun solat pun dah salah. Kita boleh tengok, bagi salam tak betul, takbir pun banyak kali. Pada umumnya memang tidak sah,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas gambar tular Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu sedang solat di Tehran, Iran, berimamkan Ayatollah Emami Kashani, baru-baru ini.

Mengulas perkara itu, Abdul Rahman berkata, Mohamad Sabu atau Mat Sabu perlu membuat penjelasan kepada umum berhubung gambar yang tular bagi mengelakkan tohmahan berterusan.

Katanya, Mat Sabu perlu mengambil pendekatan untuk berterus terang kepada masyarakat, selepas ramai pihak mengeluarkan tohmah bahawa beliau adalah Syiah.

“Beritahu solat seperti mana dia di sana. Terangkan cara solat sama ada benar-benar ikut imam Syiah atau tidak. Beri penjelasan untuk elakkan label yang bukan-bukan. Kena berhati-hati jika membabitkan hukum Islam dan syarak,” katanya.

Pada 2013, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjelaskan bahawa semua ajaran atau fahaman Syiah di Malaysia adalah menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan hukum syarak.

Malah, Jakim juga menafikan sekeras-kerasnya dakwaan mengatakan ada fahaman Syiah yang mempunyai persamaan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah di negara ini.

Jakim yang menjalankan kajian mendapati, dakyah Syiah sebagai sebuah mazhab berasaskan aliran Syiah Imamiyyah Ithna ‘Ashariyyah atau Imam Dua Belas mula aktif di Malaysia selepas kejayaan Revolusi Iran pada 1979. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

One thought on “Tak sah solat berimamkan Syiah: Mufti Pahang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *