home Semasa Orang politik tak perlu serah zakat: Mufti Perlis

Orang politik tak perlu serah zakat: Mufti Perlis

 

MUFTI Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin bersetuju dengan titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang melarang ahli politik menyerahkan zakat kepada asnaf di Perlis.

Beliau berkata, ia bagi mengelak pemberian zakat itu disalah tujuan atau dijadikan kempen politik kepartian.

“Isunya bukan sama ada zakat itu boleh diwakilkan atau tidak.

“Isunya, jika ruang itu dibuka, maka dalam konteks negara demokrasi pilihan raya, ia akan dijadikan ruang untuk berkempen politik kepartian menggunakan agama, atau lebih khususnya zakat,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.

Sebelum ini, tular di media sosial apabila beberapa pemimpin parti politik di kawasan tertentu aktif menyampaikan sumbangan zakat kepada golongan tertentu, khususnya asnaf.

Tindakan itu mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat kerana sebahagian mereka berpendapat, penyampaian zakat haruslah diberikan pihak berautoriti dalam negeri yang diamanahkan menjalankan tanggungjawab itu.

 

 

Mohd Asri berkata, sepanjang pengalamannya bertugas sebagai mufti, hanya Raja Perlis ataupun Raja Muda Perlis sahaja yang menyerahkan zakat.

“Jika tiada, maka (hanya) orang yang diperkenankan oleh DYMM (Duli Yang Maha Mulia) Raja (Perlis) atau DYTM (Duli Yang Teramat Mulia) Yang Dipertua MAIPs (Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis).

“Pastinya mereka bukan dari kalangan orang politik. Dalam majlis pemberian zakat, Mufti atau CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) MAIPs akan menyerahkan ke tangan Tuanku Raja atau Tuanku Raja Muda.

“Orang politik yang hadir boleh menjadi saksi bersama yang lain. Demikian jugalah majlis penerima zakat oleh MAIPs,” katanya.

Beliau berkata, umat Islam di negara ini hendaklah meminimakan penyalahgunaan agama bagi tujuan kempen politik kepartian dengan agenda yang bersifat kelompok dan peribadi.

Katanya, ini kerana penyalahgunaan agama untuk kepentingan politik kepartian adalah musibah besar kepada masyarakat. – Harian Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *