home Semasa Derita Uighur bukan pembohongan!

Derita Uighur bukan pembohongan!

 

OSAKA – Seakan-akan tidak diendahkan dunia malah diperlekehkan kononnya ‘menipu’ tentang nasib yang menimpa saudara-mara mereka di Xinjiang, China, sekumpulan etnik Uighur berhimpun di sini ketika pemimpin dunia berhimpun pada Sidang Kemuncak G20.

Mereka dengan tegas menggesa supaya pemimpin terbabit berani berdepan Pre­siden China, Xi Jinping berhubung penindasan dan ‘penghapusan etnik Uighur’ di Xinjiang.

Penasihat etnik Uighur, Rebiya Kadeer berkata, tekanan daripada semua pemimpin dunia boleh membantu etnik minoriti tersebut mencapai kebebasan dan mendapat hak yang sepatutnya menjadi milik mereka.

“Etnik Uighur berdepan de­ngan ancaman kepupusan dan hal ini perlu dipandang serius oleh semua pihak di seluruh dunia. Ancaman ini adalah benar.

“Sehubungan itu, saya menggesa agar semua kuasa dunia bangkit menentang penindasan yang dilakukan oleh kerajaan China terhadap etnik Uighur,” katanya.

Tambah Rebiya, budaya Ui­ghur berkemungkinan besar akan hilang sekiranya ‘tindakan tegas’ tidak diambil oleh rakan perdagangan China.

 

 

Lebih 100 penunjuk perasaan berhimpun bagi membantah kem ‘pendidikan semula’ China serta mengecam tindakan Beijing menarik kebebasan Hong Kong.

Kehadiran Rebiya di Osaka di­lihat bakal mencetuskan kemarahan China, yang sebelum ini melabel beliau sebagai anggota pemisah berbahaya dan pernah mengutuk Jepun kerana membenarkannya memasuki negara ini.

China mendakwa Rebiya mencetuskan rusuhan di Xinjiang pada 2009 yang mengorbankan sekurang-kurangnya 197 orang tetapi beliau menafikan dakwaan berkenaan.

Dalam perkembangan ber­kai­tan, sekumpulan Senator Amerika Syarikat (AS) termasuk tiga calon Presiden menghantar surat kepada White House, menggesa agar pentadbiran Donald Trump mengenakan sekatan hak asasi manusia terhadap Beijing susulan isu penahanan secara beramai-ramai etnik Uighur di Xinjiang.

Sejurus sebelum Trump dan Jinping bertemu di Jepun dalam usaha memulakan semula run­dingan perdagangan, anggota Senat itu meluahkan kebimba­ngan berhubung ‘laporan bahawa White House menangguhkan sekatan terbabit bagi memboleh­kan rundingan perjanjian antara dua negara dimuktamadkan’.

Lapor portal South China Morning Post, antara yang menghantar surat berkenaan adalah calon Presiden, Elizabeth Warren, Bernie Sanders dan Kirsten Gillibrand.

Lebih sejuta etnik Uighur dan kumpulan minoriti Muslim lain dilaporkan ditahan di kem tahanan di wilayah berkenaan.

Beijing berulang kali menolak sebarang kritikan terhadap pelaksanaan dasarnya di wilayah tersebut dan sering menggambarkan kem-kem tahanan itu sebagai ‘institusi latihan atau pendidikan vokasional’. – Utusan Malaysia

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *