home Semasa Fokus rohani bukan galak menari: iGuru

Fokus rohani bukan galak menari: iGuru

 

BANGI – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) menyokong ketegasan Kementerian Pendidikan (KPM) menjelaskan isu salah guna logonya dalam satu pertandingan tarian, sehingga tular di media sosial semalam.

Terdahulu, KPM dalam satu kenyataan menjelaskan pertandingan tarian yang menampilkan peserta berpakaian menjolok mata bukan program anjuran bersama kementerian, tetapi dianjurkan oleh Malaysia United Dancesport Association (MUDA).

Isu itu timbul selepas gambar peserta dewasa berdiri di depan satu kain rentang berlogo Kementerian Pendidikan yang mengundang kritikan di media sosial.

Bagaimanapun, kementerian memaklumkan pihaknya hanya membenarkan penyertaan murid dalam kategori murid sekolah.

“Dalam surat kelulusan kepada MUDA, KPM telah menggariskan tatacara pemakaian yang perlu dipatuh oleh murid yang menyertai pertandingan. Kebenaran penggunaan logo KPM hanya melibatkan kategori murid sekolah dan sijil penyertaan bagi kategori itu,” katanya.

Apa sahaja alasan, Presiden iGuru, Mohd Azizee Hasan berkata, KPM sepatutnya lebih serius memantau aktiviti yang menggunakan logonya tanpa pengetahuan dan tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) pemakaian seperti yang ditetapkan di dalam surat Pekeliling khtisas Bil 8/2009 dan Bil 7/1988.

 

 

Beliau berkata, pihaknya turut berharap supaya KPM melihat usaha membangunkan kecemerlangan murid perlu seiring dengan pembentukan sahsiah dan nilai-nilai murni yang berpaksikan budaya timur, yang menjaga adab serta kesopanan.

“iGuru bimbang usaha normalisasi Barat yang bebas tanpa kawalan ini mengundang kehancuran generasi muda bahkan akan membawa kepada keruntuhan akhlak dan masalah-masalah sosial yang lain. Jadi, kita minta KPM pantau isu berkenaan dengan lebih tegas.

“Usaha membangunkan peradaban bangsa yang cemerlang mestilah dimulakan sejak dari sekolah rendah lagi melalui wadah pendidikan dan berpaksikan asas-asas rukun negara ‘Kesopanan dan Kesusilaan’,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Serentak itu, iGuru menggesa supaya penekanan aspek kerohanian dan nilai-nilai agama diperkasakan di peringkat sekolah rendah lagi, bagi memastikan generasi pelajar memiliki jati diri yang kuat menghadapi cabaran masa kini serta memahami perkara termaktub dalam lima prinsip Rukun Negara, katanya. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *