home Semasa JHEAINS sasar semua premis makanan di Negeri Sembilan miliki sijil halal menjelang 2023

JHEAINS sasar semua premis makanan di Negeri Sembilan miliki sijil halal menjelang 2023

 

SEREMBAN – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menyasarkan semua premis penyedia makanan halal di negeri ini memiliki sijil halal menjelang 2023.

Pengarahnya Mohd Zaidi Ramli berkata untuk tujuan itu, pihaknya akan mengadakan kerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mensyaratkan kepada pemilik premis yang mahu memperbaharui lesen perniagaan perlu memiliki sijil halal.

Katanya perkara itu dijangka dapat dilaksanakan selewat-lewatnya tiga tahun akan datang memandangkan kesedaran di kalangan peniaga belum tinggi.

“Aspek halal bukan sahaja menyentuh mengenai cara dan bahan yang digunakan sebaliknya turut meliputi peralatan yang digunakan. Misalnya ada peniaga menggunakan berus untuk menyapu minyak terhadap ayam dimasak yang diperoleh daripada pembekal yang halal namun tidak menyedari bulu berus yang digunakan daripada binatang yang haram,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Ziarah Halal Tour di sini. Turut hadir Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Noraini Ab Wahab dan Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri Mohd Tarmimi Rashid.

 

 

“Kita galakkan sesiapa yang menyediakan perkhidmatan makanan bukan sahaja kepada orang Islam tetapi juga kepada orang bukan Islam supaya memohon sijil halal. Buat masa sekarang kita dalam peringkat memberi bimbingan dan penerangan bagi mewujudkan kesedaran di kalangan peniaga dan masyarakat mengenai aspek halal.

Mohd Zaidi berkata setakat ini, sebanyak 24 hotel di negeri ini memiliki pensijilan halal, hospital (tujuh), pengusaha katering (tiga) dan premis makanan (14), setakat ini.

Sementara itu, Mohd Tarmimi berkata sebanyak 12 kes berpandukan Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011) di bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrifan Halal) 2011 direkodkan kementerian itu tahun ini dengan tujuh daripadanya telah dikompaun manakala baki dalam proses pendakwaan di mahkamah serta dalam siasatan.

“Kesalahan yang dilakukan antaranya menggunakan sijil halal pembekal dan bukannya pemilik kedai dan ini mengelirukan pengguna seolah-olah premis tersebut mempunyai pensijilan halal.

Ziarah Halal Tour yang memasuki siri kedua itu merupakan inisiatif JAINS untuk memberi penerangan kepada peniaga mengenai aspek halal dan ia disertai Jabatan Kesihatan negeri, KPDNHEP, PBT, Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan badan bukan kerajaan. – Bernama

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *