home Semasa Sudah 6 bulan, mana keadilan buat keluarga Adib?

Sudah 6 bulan, mana keadilan buat keluarga Adib?

 

BANGI – “Sudah enam bulan Adib meninggalkan kita, namun keadilan buat diri dan keluarganya masih lagi tiada. Malah, ada pihak yang berkepentingan cuba campur tangan dalam isu ini sehingga mengelirukan rakyat secara umumnya.”

Demikian luahan kesal Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu Islam sederhana, Haji Aminuddin Yahaya berhubung prosiding inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, yang sehingga kini masih menimbulkan tanda tanya.

Muhammad Adib, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya, parah selepas diserang dan dipukul sekumpulan perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.

Sebelum ini media melaporkan Peguam Negara, Tommy Thomas akan mengarahkan majistret untuk membuat inkues bagi menentukan sebab kematian Muhammad Adib.

 

 

Pada Mei lalu, peguam mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Syazlin Mansor mengumumkan menarik diri daripada prosiding inkues kematian Muhammad Adib di hadapan Hakim Rofiah Mohamad, yang bersidang sebagai Koroner, ketika prosiding hari ke-37 di Mahkamah Koroner di Shah Alam.

Beliau turut mendedahkan mengenai campur tangan Peguam Negara dalam prosiding inkues kematian berkenaan.

Sementara Tommy menerusi kenyataan pada 28 Mei lalu, pula tampil menjelaskan kekeliruan dan spekulasi yang timbul berhubung penarikan diri Syazlin daripada mewakili KPKT serta JBPM dalam prosiding inkues kematian Muhammad Adib.

Menerusi empat sebab mengapa Syazlin sepatutnya menolak pelantikan kerajaan, Tommy berkata, peguam berkenan menerima pelantikan untuk mewakili kementerian dan JBPM dalam prosiding inkues, selain pada masa sama dilantik bagi mewakili keluarga Muhammad Adib.

Bagaimanapun, selepas mengadakan perbincangan dengan keluarga arwah, khususnya bapa Allahyarham, Mohd Kassim Abdul Hamid, Syazlin bertekad akan terus mewakili keluarga anggota bomba itu dalam prosiding inkues.

Mengulas mengenai arahan Tommy mengarahkan Syazlin menarik diri daripada prosiding inkues kematian Muhammad Adib, Haji Aminuddin berkata tindakan itu salah satu bukti rosaknya integriti Peguam Negara.

“Ini belum pula disentuh mengenai kesungguhan kerajaan yang mahu memansuhkan hukuman mati mandatori termasuk kesalahan membunuh secara tiba-tiba akhir-akhir ini. Apakah ada kaitannya dengan kes kematian Adib ini? Atau hanya satu kebetulan?” soal beliau.

Pada masa sama, Haji Aminuddin yang juga Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) hairan mengapa banyak persoalan timbul mengenai kes Muhammad Adib.

“Apa yang Tommy Thomas cuba sembunyikan? Baik. Mungkin ada juga yang tidak bersetuju atau agak ‘reserved’ jika kita katakan Peguam Negara ada menyembunyikan sesuatu dalam kes ini, tetapi saya yakin kita semua boleh bersetuju bahawa beliau perlu berhenti daripada campur tangan dalam kes ini.

“Malah, adil juga untuk kita tuntut Tommy Thomas meletakkan jawatannya sebagai Peguam Negara berdasarkan ‘performance’ buruk beliau sepanjang menjawat jawatan ini. Lihat sahaja kontroversi-kontroversi lain yang membabitkan beliau.

“Tidak sampai setahun pun, tetapi sangatlah banyak terutamanya isu ICERD, Statut Rom, UEC, kes rasuah banglo Lim Guan Eng dan pelbagai lagi,” katanya. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *