home Semasa “Tegurlah untuk memperbaiki, bukan memuaskan hati sendiri”

“Tegurlah untuk memperbaiki, bukan memuaskan hati sendiri”

 

1. KITA hargai pelbagai pihak yang menegur atau membahas isu keabsahan hadis secara ilmiah. Kerancakan ilmu sebegini membuktikan kepekaan masyarakat terhadap kesucian hadis Nabi junjungan umat.

2. Menegur secara ilmiah ada nadanya, menegur kerana sentimen politik juga ada nadanya. Semua itu boleh dihidu baunya. Pilihlah dengan bijaksana “nada dering” yang kita ingin orang lain dengar iramanya, dan mereka akan menilainya.

3. Tentang parti PAS, saya kira antara parti yang paling aktif diserang oleh pihak media terutamanya melalui tajuk provokasi yang tidak menggambarkan keseluruhan intipati dan konteks dengan tepat. Sedikit isu pasti membuatkannya mudah dibahan pihak yang skeptikal terhadap parti itu. Bukan mudah, kerana parti itu membawa kalimah “Islam” yang sensitif pada jenamanya.

4. Kita menolak ketaksuban terhadap mana-mana parti. Kebenaran itu lebih kita cintai dari ketaksuban yang membutakan mata hati. Namun kita tidak menolak setiap parti pasti ada ahli yang baik dan ada jua ahli bermasalah yang menjadi liabiliti.

Saya kira semua parti tiada yang selamat, ada sahaja ahli yang taksub dan sering dikritik lisannya atau tergelincir dalam membuat kenyataan baik di peringkat bawahan atau pihak tertinggi. Tidak wajar untuk mempukalkan secebis kesilapan tersebut pada keseluruhan parti atau ahli.

5. Di dalam PAS, sangat ramai ahli atau penyokongnya yang saya kenali sangat mencintai sunnah, meminati ilmu agama, berakhlak, berilmu dan bertoleransi, jauh dari sikap taksub atau menyalah guna nas agama yang sering ditempel pada parti itu.

Mereka ini jarang mendapat sorotan media dan lebih banyak berdiam diri. Tidak adil untuk memukul rata dan memilih pendekatan “bermusuh” dengan mana-mana pihak yang didominasi oleh orang Islam semata-mata kerana kelompongan individu.

6. Politik itu besar fitnahnya. Ia sering mencuit kewarasan dan mudah mengelabui penilaian insan.
Hakikatnya politik telah memecahkan kesatuan umat akhir zaman. Sangat jarang ulasan politik yang bersifat adil kerana faktor kecenderungan peribadi, sedangkan di dalam al-Quran Allah telah berfirman:

وَلَا يَجۡرِمَنَّڪُمۡ شَنَـَٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْ‌ۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰ‌ۖ

“Dan jangan sesekali kebencian kamu terhadap suatu kaum itu mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Hendaklah kamu bersikap adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa” [al-Maidah: 8].

7. Semua pihak dan insan khususnya yang beragama Islam itu mad’u (sasaran dakwah) kita.
Dalam menyeru ke jalan Ilahi, ALANGKAH RUGI, ALANGKAH RUGI & ALANGKAH RUGI sengaja membuatkan “pelanggan” kita lari menjauhi semata-mata kerana berkhilaf dalam ijtihad politik yang bersifat peribadi.

8. Tidak wajar menjadikan PAS sebagai seteru, kerana begitu ramai peminat parti itu yang bersifat mulia dan mencintai agama. Tidak wajar jua menjadikan UMNO sebagai musuh, kerana begitu ramai pengikutnya yang inginkan Islam menjadi ampuh. Tidak wajar jua menjadikan AMANAH sebagai lawan, kerana muslim di sanalah yang sedang memegang tampuk kekuasaan.

9. Akhir kalam, boleh sahaja masing-masing berbeza pandangan atau menyatakan ketidak setujuan terhadap pendekatan atau ijtihad politik, baik PAS mahupun UMNO atau PH. Namun saya menyeru semua pihak yang berhujah menyampaikan apa jua teguran ilmiah, khususnya jika terpalit dengan isu politik yang mudah mengundang amarah, melakukannya dengan adil, matang dan berhemah.

Kita ingin memperbaiki? Atau memuaskan hati sendiri?

Dr. Kamilin Jamilin

Sumber: FB Kamilin Jamilin – Seni Hadith

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *