home Semasa Antara ‘jiwa merdeka’ dan ‘jiwa terjajah’

Antara ‘jiwa merdeka’ dan ‘jiwa terjajah’

 

JIWA merdeka akan berbicara tentang membina keagungan baru, apa pun bayaran dan harganya. Jiwa terjajah akan berbicara sekadar ‘survival’, asalkan kita tidak mati sahaja.

Jiwa merdeka akan berbicara tentang naratif dan masa depan yang dicipta sendiri, walaupun kedengaran seperti ganjil dan mustahil. Jiwa terjajah akan berbicara sekadar ‘sejauh mana kita relevan’, biarpun terperangkap dan hanyut dalam naratif dan masa depan orang lain.

Jiwa merdeka akan berbicara tentang kaedah yang ‘revolutionary’, kerana hanya perubahan total yang akan berkekalan. Jiwa terjajah akan berbicara sekadar kaedah yang menjaga ‘continuity’, memelihara ‘status quo’, ubah yang tempel-tempelan sahaja pun memadai.

Jiwa merdeka akan berbicara tentang kehidupan yang dibina atas kehendak dan prinsip sendiri, walaupun zahirnya hidup itu kelihatan ‘mundur’ di mata orang. Jiwa terjajah akan berbicara tentang kehidupan yang bahagia dan selesa secara zahir, walau hakikatnya dibelenggu kiri dan kanan oleh syarat-syarat ‘tuannya’.

Jiwa merdeka akan berbicara tentang kerja yang rumit, panjang, dan mengancam nyawa, ‘kerjakan yang sepatutnya, bukan yang senang’, kerana itulah peraturan alam dalam kejayaan semua bangsa. Jiwa terjajah akan berbicara sekadar usaha yang menyedapkan hati, kesannya mesti hari ini, dan sukarnya janganlah sampai perlu berkorban jiwa, ‘sekurang-kurangnya buat sesuatu’ pun memadai.

 

 

Catatan di atas ialah apa yang bermain dalam benak saya setelah saya meneliti minda dan pemikiran orang Melayu sebelum merdeka, selepas merdeka, sehinggalah hari ini.

Jika anda baca sejarah orang Melayu dan cakap-cakap orang Melayu hari ini, perhatikanlah. Anda akan dapati mereka semuanya berada antara dua jiwa ini, sama ada mereka sedar atau tidak.

Sebelum kita semua berbincang panjang tentang polisi dan strategi dalam menentukan halatuju negara, setelah beberapa dekad merdeka, perhatikanlah dahulu soal dua jiwa yang saya nyatakan di atas.

Hanya jiwa yang benar-benar merdeka akan membawa perubahan yang selama ini dicari-cari.

Ustaz Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *