home Semasa Makna rahmatan lil alamin di sisi ulama muktabar dalam Tafsir at-Tabari

Makna rahmatan lil alamin di sisi ulama muktabar dalam Tafsir at-Tabari

 

SEBELUM ini isu kefahaman rahmatan lil alamin yang diambil dari ayat 107 al-Anbiya ini telah banyak dikelirukan dengan cara membuat tafsiran ikut kefahaman sendiri secara terjemahan literal bahasa Arab ke bahasa Melayu.

Kali ini, apabila berlakunya isu-isu terkini melibatkan umat Islam dan ulama Islam. Tapi golongan yang menggelar diri mereka rahmatan lil alamin hanya membisu dan memberi muka kepada orang kafir, saya rasa terpanggil untuk menerangkan semula isu ini dari sudut tafsir al-Quran supaya kita tidak tersalah faham maksud ikut hawa nafsu atau letakkan kalam Allah bukan di tempatnya yang betul.

Tafsir Tabari:

1. Allah SWT berfirman kepada NabiNya Muhammad SAW: “dan tidak kami utuskan kamu wahai muhammad kepada makhluk kami kecuali untuk kamu menjadi rahmat kepada mereka.”

2. Telah berbeza pandangan ahli tafsir tentang makna ayat ini. Adakah lil alamin (semua alam) yang diutuskan Nabi Muhammad kepada mereka dimaksudkan dengan mukmin dan kafir? Ataupun hanya dimaksudkan orang beriman sahaja.

3. Berkata sebahagian mereka: dimaksudkan seluruh alam itu mukmin dan kafir.

4. Mereka yang cenderung kepada pandangan pertama ini menyebut: daripada Ibnu Abbas berkenaan dengan ayat di atas dia berkata: barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat ditulis baginya rahmat di dunia dan akhirat, barangsiapa yang tidak beriman dengan Allah dan Rasulnya (rahmat baginya) terselamat daripada apa yang terkena umat-umat sebelum ini daripada kehancuran dan kebinasaan.

*Imam at-Tabari menyebut dua riwayat keduanya daripada Saied Bin Jubair Ibnu Abbas RA. Saya meringkaskaskan sanadnya kepada menyebut nama sahabat.

 

 

5. Dan telah berkata sebahagian yang lain: yang dimaksudkan dengan lilalamin (semua alam) hanyalah orang yang beriman sahaja tanpa yang kafir.

6. Daripada Ibnu Zaid katanya: العالمون Alimun (sekalian alam) mereka yang beriman denganNya dan mempercayaiNya.

7. Ibnu Zaid membaca ayat daripada surah alAnbiya ayat 111 ertinya: (dilambatkan balasan buruk yang dijanjikan kepada kamu itu) jangan-jangan lambatnya menjadi satu sebab yang menambahkan azab kamu, dan di samping itu memberi kamu kesenangan hidup hingga ke suatu masa yang tertentu). Beliau menambah: bagi suatu kumpulan ianya fitnah dan bagi suatu lagi rahmah, dan ayat ini telah datang secara keseluruhannya rahmat bagi sekalian alam.

8. Dengan itu maksud Alimun (sekalian alam) ialah mereka yang beriman denganNya, mempercayaiNya, dan MentaatiNya.

8. Kata Imam at-Tabari: dan pandangan yang lebih tepat adalah pandangan yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas bahawasanya Allah SWT telah mengutuskan Nabinya Muhammad SAW rahmat kepada sekalian alam dikalangan mereka yang mukmin dan kafir.

9. Adapun yang mukmin sesungguhnya Allah SWT telah berikan hidayahNya kepadanya, dan memasukkan dia kedal syurga dengan Iman dan Amal. Adapun yang kafir sesungguhnya Allah telah menolak dengan pengutusan Nabi Muhammad SAW azab yang segera keatasnya di dunia seperti yang terkena kepada umat-umat dahulu yang mendusatakan Nabi mereka.

Tamat tafsir Imam Tabari terhadap ayat ini.

10. Oleh itu, boleh disimpulkan dari pandangan Imam Tabari:

a. Terdapat khilaf dari kalangan ulama sejak dahulu berkenaan kefahaman ayat ini adakah sekalian alam itu kafir dan mukmin atau mukimn sahaja.

b. Pandangan yang dipilih oleh Imam Tabari yang pertama: rahmat juga kepada orang kafir adalah mereka terselamat daripada azab di dunia.

c. Rahmat kepada kafir bukanlah memberi rahmat dengan menggadaikan prinsip Islam atau memberi muka orang kafir menentang Islam dan melakukan yang diingini dengan hujah rahmat (dari segi bahasa Melayu) kepada mereka.

Marilah kita kembali kepada kefahaman Islam yang sebenar.

Wallahuallam.
Semoga bermanfaat.

Ustaz Muhammad Ikram Abu Hassan

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *