home Semasa Mufti Perak sokong pelaksanaan tulisan jawi di sekolah

Mufti Perak sokong pelaksanaan tulisan jawi di sekolah

 

BANGI – Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria menyambut baik keputusan kerajaan memperkenalkan seni khat dan tulisan Jawi bagi mata pelajaran bahasa Melayu Tahun Empat di semua sekolah dalam negara termasuk sekolah vernakular.

Dalam satu kenyataan, beliau menegaskan, bahasa Melayu dan tulisan jawi termasuk khat ibarat aur dengan tebing yang tidak boleh dipisahkan berdasarkan sejarah Tanah Melayu.

Justeru, menggalakkan pengenalan dan penggunaan tulisan jawi serta khat adalah sesuatu yang harus disokong oleh semua pihak kerana kekuatan sesebuah tamadun adalah menghayati sejarah silam, katanya.

“Cadangan penerapan tulisan jawi dan khat itu bukanlah sesuatu yang asing dalam sesebuah negara. Kerajaan Turki sekarang ini telah memperkenalkan semula bahasa mereka menggunakan tulisan asalnya bagi memelihara sejarah dan warisan kepada rakyat terutama generasi muda.

“Begitu juga Korea dan Jepun menetapkan setiap rakyat yang ingin memasuki universiti lulus bahasa mereka dengan tulisan mereka sendiri,” katanya.

 

 

Dalam pada itu, Harussani berkata, cadangan itu juga seiring dengan saranan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah agar tulisan jawi dipertahankan sebagai warisan negara ketika merasmikan Anugerah Bisnes Utusan di Kuala Lumpur pada 2015.

Beliau turut menafikan tuduhan bahawa seseorang pelajar itu memeluk Islam apabila mempelajari seni khat atau tulisan jawi.

Sebaliknya kata beliau, tulisan jawi dan bahasa Melayu telah dipelajari oleh pelbagai bangsa di negara ini yang telah secara nyata menzahirkan semangat perpaduan antara kaum di Malaysia.

Pada masa sama, Mufti Perak berkata, sejarah mencatatkan perkembangan tulisan jawi sinonim dengan kedatangan Islam ke Tanah Melayu sekali gus menjadi lambang dan simbol yang mewakili bahasa dan entiti bangsa Melayu sebagai bangsa peribumi.

“Selain itu, sejarah membuktikan bahawa para pegawai dan pembesar British pada masa lampau berhubung dengan Raja-Raja serta pembesar Melayu menulis dalam bahasa Melayu dengan menggunakan tulisan jawi,” katanya.

Isu penggunaan tulisan Jawi dalam buku teks di semua sekolah hangat diperdebatkan apabila kumpulan pendesak Cina, Dong Zong dan Jiao Zong (Dong Jiao Zong) serta pemimpin DAP termasuk anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) membantah keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, baru-baru ini Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, penggunaan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat boleh diteruskan.

Merujuk bantahan sesetengah pihak mengenai perkara itu, beliau berkata, ia hanya membabitkan sebahagian kecil masyarakat. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *