home Semasa Rakyat Malaysia wajib taat setia kepada kepimpinan Agong: Khutbah

Rakyat Malaysia wajib taat setia kepada kepimpinan Agong: Khutbah

 

BANGI – Kegagalan memahami Perkara 153 Perlembagaan dengan konteks sejarah menjadi punca kumpulan tertentu mempertikaikan kuasa-kuasa Yang di-Pertuan Agong, dalam memelihara hak istimewa orang Melayu.

Khutbah Jumaat hari ini berkata, sikap itu juga menyebabkan wujudnya segelintir pihak yang sengaja melemparkan persepsi negatif terhadap institusi beraja, sehingga berani menghina sultan di negara ini.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerusi khutbahnya berkata, antara tuduhan liar yang dilemparkan termasuklah peruntukan yang didakwa membeza-bezakan warganegara dan dianggap sebagai diskriminasi kepada kaum lain.

“Perkara 153 itu dibaca sebahagian sahaja. Ia juga tidak difahami dengan konteks sejarah.

“Justeru, sebagai rakyat yang telah berikrar untuk memberikan kesetiaan kepada raja dan negara sepatutnya menyokong dan mempertahankan sistem kesultanan di negara ini,” kata khutbah.

Sebagai muslim yang berpegang teguh dengan manhaj Ahl al-Sunnah wal Jamaah, khutbah berkata, umat Islam mesti meletakkan ketaatan kepada pemerintah dalam negara, apatah lagi status Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama.

 

 

Katanya, mentaati pemimpin itu juga termasuk mentaati Allah swt dan mentaati Rasulullah ﷺ, sebagaimana yang difirmankan dalam Surah al-Nisa ayat 59, “Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan kepada Ulil-Amri dari kalangan kamu.”

“Jumhur ulama menguatkan bahawa maksud ulil amri dalam ayat tersebut ialah para pemerintah dan ulama yang memiliki autoriti dalam mengurus urusan kaum muslimin, sama ada urusan dunia mahupun urusan agama.

“Hal ini sebagaimana ditegaskan oleh Imam al-Nawawi, ‘ulil amri yang dimaksudkan ialah orang-orang yang Allah SWT wajibkan untuk ditaati dari kalangan para pemerintah dan pemimpin umat, inilah pendapat jumhur ulama terdahulu dan sekarang iaitu dari kalangan ahli tafsir, fiqh, dan yang lainnya’,” katanya.

Khutbah berkata, ketaatan itu diletakkan selagi mana tiada kecenderungan terhadap kemaksiatan dan sesuatu yang bercanggah dengan syariat Allah SWT.

“Sebagai rakyat pula, adalah wajib bagi kita menumpahkan sepenuh taat setia kepada kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong bagi memastikan segala agenda pentadbiran dan kemakmuran dapat dicapai.

“Kita juga pastinya menginginkan negara ini berkembang pesat dalam keadaan seluruh rakyat hidup bahagia dan harmoni. Maka sepatutnya kita bersama-sama memelihara keamanan dan kesatuan yang telah terbina dan meninggalkan sebarang usaha negatif yang berhasrat merosakkan keharmonian ini,” katanya. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *