home Semasa Wanita wajib pastikan bekalan dapur dari sumber halal

Wanita wajib pastikan bekalan dapur dari sumber halal

 

BANGI – Wanita muslim yang berperanan sebagai pengurus rumah tangga wajib memastikan sumber makanan yang disediakan di dapur adalah halal dan baik, kata Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustazah Suriani Sudi.

Beliau berkata, adalah sangat penting memilih yang halal dan baik kerana makanan membentuk dan mempengaruhi proses pembesaran dan kesihatan jasmani manusia.

Bahkan, katanya, Rasulullah ﷺ pernah mengingatkan umat Islam agar meninggalkan perkara yang meragukan dan yang tidak jelas halal dan haram.

Beliau turut memetik ayat suci al-Quran berhubung tuntutan makan makanan yang halal di dalam surah Al-Baqarah ayat 72: “Wahai orang yang beriman, makanlah dari makanan yang baik yang telah Kami berikan kepadamu.”

“Untuk itu, wanita perlu memastikan dapurnya adalah bersumber dari yang halal dan baik. Ini disebabkan dari pemakanan ia akan menjadi darah daging yang membekalkan tenaga, membantu pertumbuhan tisu-tisu yang baru serta membaiki tisu yang rosak.

“Malah dalam sebuah hadis baginda ﷺ amat menitikberatkan agar mengambil yang halal dan meninggalkan yang haram serta menjauhi perkara yang tidak jelas halal dan haramnya,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, Ustazah Suriani berkata, makanan yang haram akan memberi kesan secara langsung kepada kehidupan.

 

 

“Tidak dapat dinafikan pembangunan akhlak seseorang turut dipengaruhi makanan yang diambil. Jika diambil daripada sumber haram, maka akan terbentuklah individu Muslim yang tidak mengikut acuan Islam sebenar.

“Hati akan rosak jika memakan makanan haram sedangkan ia umpama raja dalam kerajaan diri kita. Jika baik hati, maka kebaikannya akan menyerlahkan seluruh jasad namun, jika hati jahat maka jahatlah seluruh diri manusia,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, bagi memastikan jasmani yang baik, haruslah mengutamakan produk halal buatan orang Islam.

Ia juga sekaligus dapat membantu meningkatkan ekonomi umat Islam di negara ini, tegasnya.

“Wanita sebagai ‘penjaga rumah tangga juga’ perlu menyokong produk orang Islam dengan memastikan barangan dapurnya adalah dari produk orang Islam.

“Secara tidak langsung membantu ekonomi saudara Islam yang lain dan menyemarakkan semangat ukhuwwah sesama Islam.

“Tindakan ibu ini juga akan diikuti dan menjadi contoh kepada anak-anak malah kepada suami juga iaitu dengan mengutamakan produk orang Islam,” katanya. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *