home Semasa Erdogan kutuk tindakan kait Islam dengan keganasan

Erdogan kutuk tindakan kait Islam dengan keganasan

 

LONDON – Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan pada Rabu mengutuk pihak yang menggunakan perkataan ‘Islam’ sebagai satu adjektif bagi menggambarkan keganasan, lapor agensi berita Anadolu.

“Islam adalah agama kedamaian,” kata Erdogan dalam satu majlis di timur London anjuran Parti AK cawangan United Kingdom (UK) di mana beliau dan isterinya Emine Erdogan bertemu wakil komuniti Turki semasa menghadiri sidang kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di London.

Mengulas isu perkauman, diskriminasi, anti-Semitisme dan permusuhan terhadap Islam yang semakin meningkat di Eropah baru-baru ini, Erdogan berkata pergerakan pelampau kanan kebanyakannya menyasarkan umat Islam dan komuniti Turki.

“Pilihan raya Parlimen Eropah yang terakhir sekali lagi membuktikan bahawa politik identiti menjadi semakin dominan di Eropah,” katanya sambil menambah bahawa media dan beberapa ahli politik telah merumitkan lagi keadaan dengan mengeluarkan kenyataan yang tidak bertanggungjawab.

Erdogan turut menyentuh perjuangan Turki dalam menentang keganasan.

“Pihak yang berpendapat bahawa mereka boleh mendisiplinkan Turki melalui keganasan dan peras ugut berasa malu selepas gagal mencapai matlamat mereka.”

Beliau berkata Turki adalah “bebas dalam dasar luarnya” dan tidak berhasrat untuk mendapatkan kelulusan operasi bagi keselamatannya sendiri.

Turki tidak akan meninggalkan kawasan Operasi Peace Spring di utara Syria sehingga ia bebas daripada pengganas, katanya.

Turki telah melancarkan Operasi Peace Spring pada 9 Oktober lalu untuk menghapuskan pengganas Unit Perlindungan Rakyat/Parti Pekerja-Pekerja Kurdistan (YPG/PKK) dari utara Syria di kawasan timur Sungai Euphrates bagi menjaga keselamatan sempadan Turki, membantu kepulangan selamat pelarian Syria dan memastikan integriti wilayah Syria.

Di bawah dua perjanjian berasingan dengan Amerika Syarikat (AS) dan Rusia, Turki telah menghentikan buat seketika operasi itu bagi membolehkan pengganas YPG/PKK berundur dari zon selamat Syria yang dirancang.

 

 

Ankara mahu pengganas YPG/PKK berundur dari wilayah itu bagi membolehkan satu zon selamat diwujudkan untuk membuka laluan ke arah kepulangan sejumlah dua juta pelarian.

Dalam kempen keganasannya selama lebih 30 tahun terhadap Turki, PKK yang disenarai sebagai pertubuhan pengganas oleh Turki, AS dan Kesatuan Eropah (EU), telah bertanggungjawab atas kematian hampir 40,000 orang termasuk wanita, kanak-kanak serta bayi.

Erdogan turut menggariskan bahawa Turki kini menjadi tuan rumah kepada lebih empat juta pelarian rakyat Syria yang berlindung di sempadannya.

Syria terjerumus dalam kancah perang saudara yang ganas sejak awal 2011 apabila rejim Bashar al-Assad melancarkan kekerasan yang tidak dijangka terhadap peserta bantahan pro-demokrasi.

Sejak itu, beratus-ratus ribu orang dipercayai telah terbunuh manakala berjuta-juta lagi kehilangan tempat tinggal susulan konflik tersebut.

Erdogan turut mengkritik EU kerana gagal menunaikan janjinya untuk membantu Turki dari segi kewangan bagi membiayai pelarian yang dilindunginya.

Mengulas hubungan dua hala antara Turki dan UK, Erdogan berkata kerjasama mendalam antara kedua-dua pihak berkembang dari sehari ke sehari serta bertambah kukuh melalui dimensi baharu.

Beliau menegaskan bahawa jumlah dagangan dua hala antara Turki dan UK mencecah US$18.6 bilion pada 2018. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *