home Semasa Masjid Temerloh Jaya terus meriah

Masjid Temerloh Jaya terus meriah

 

BERITA mengenai Masjid Temerloh Jaya (MTJ) menjadi tumpuan minggu lalu menyaksikan masjid itu dikunjungi ramai termasuk pelbagai pertubuhan dari seluruh negara.

Pengerusi masjid Dr Abdullah Ismail berkata, sejak berita masjid itu tular, pihaknya menerima kunjungan pelawat dari luar Pahang selain pertubuhan dari seluruh negara yang mahu mengetahui rahsia kejayaan masjid terbabit.

“Kebanyakan pelawat begitu teruja kerana masjid ini sama saja dengan masjid lain namun kemampuan menarik begitu ramai makmum bagi solat berjemaah sesuatu yang menakjubkan.

“Kami tidak mempunyai masalah dan bersedia untuk berkongsi ilmu dengan mana-mana pertubuhan atau ahli jawatankuasa (AJK) masjid lain bagi memeriahkan masjid di kawasan mereka,” katanya.

Dr Abdullah berkata, boleh dikatakan hampir setiap hari masjid itu menerima ramai pengunjung luar yang datang untuk menunaikan solat berjemaah selain melihat kemudahan disediakan AJK masjid untuk keselesaan jemaah.

 

 

“Kami turut menerima kunjungan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor; mahasiswa Universiti Islam Riau yang datang bersama mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Jengka serta AJK Masjid Jamek Al-Hikmah, Kuang, Selangor,” katanya.

Sementara itu penceramah bebas, Asma Harun yang dalam perjalanan pulang ke Kuala Terengganu turut singgah di masjid itu kerana tertarik dengan kisah kejayaan kariah masjid mencipta fenomena.

“Saya singgah untuk merasai aura yang berjaya dicetuskan AJK Masjid Temerloh Jaya… ini adalah usaha sangat baik dan apa yang saya perolehi ketika singgah di sini akan saya kongsi dengan rakan lain.

“Kejayaan mereka adalah sesuatu yang membanggakan dan saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua AJK masjid yang begitu komited dalam menyuburkan syiar Islam di sini dan semoga apa yang mereka capai boleh dijadikan contoh kepada (AJK) masjid lain di seluruh negara,” katanya. -My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *