home Semasa Mufti ada hadiah untuk adik Nadzrul

Mufti ada hadiah untuk adik Nadzrul

 

MUFTI Wilayah Persekutuan memuji tindakan seorang kanak-kanak yang mengutuskan surat kepada pengurusan sebuah surau selepas dihalang untuk solat di saf pertama baru-baru ini.

Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, tindakan kanak-kanak itu untuk solat di saf hadapan sesuatu yang baik kerana dapat mempelajari cara solat yang betul daripada jemaah dewasa.

Menurutnya, dakwaan mengatakan saf akan ‘terputus’ jika terdapat kanak-kanak antara jemaah dewasa juga tidak tepat kerana ia tidak pernah diutarakan oleh ulama.

“Pakcik ada membaca surat anakanda yang ditularkan di media sosial. Ada yang tag pakcik di Twitter dan tanya berhubung kedudukan saf kanak-kanak dalam masjid/surau.

“Tak (tidak) salah apa yang anakanda buat tu. Bagus duduk dengan orang dewasa. Belajar cara solat dengan lebih sempurna. Tahniah pakcik ucapkan.

 

 

“Kalau ada orang kata nanti terputus saf bila ada budak-budak antara orang dewasa, cakap pada dia, Mufti Wilayah Persekutuan belum jumpa lagi mana-mana ulama yang kata begitu,” katanya dalam hantaran di laman Facebook (FB), hari ini.

Zulkifli juga memberikan beberapa cadangan kepada mereka yang membawa anak kecil ke surau atau masjid supaya solat di hujung saf di tepi dinding dengan kedudukan anak di hujung sekali.

Katanya, bagaimanapun ibu bapa yang mempunyai anak kecil yang susah dikawal sebaiknya tidak di bawa ke masjid agar tidak mengganggu jemaah lain.

“Jika kanak-kanak mampu berdikari, letakkan di saf kanak-kanak. Tetapi kanak-kanak sudah berada di saf pertama sejak awal, tidak perlu menghalau mereka ke belakang.

“Awasi dan bimbing kanak-kanak di dalam saf agar mereka dapat melakukan solat dengan sebaik mungkin disamping menasihatkan mereka jangan membuat bising. Ajar adab dan meraikan kehormatan masjid.

 

 

“Tahniah sekali lagi pakcik ucapkan kepada anakanda Nadzrul. Pakcik doakan anakanda sentiasa menjaga solat lima waktu dan berusaha mendapatkan saf pertama setiap kali solat. Kalau jumpa pakcik di mana-mana nanti, kenalkan diri ya. Ada hadiah untuk Nadzrul,” katanya.

Tular di laman sosial hari ini apabila Nadzrul Zarfan Sharul Azly menulis surat meminta penjelasan lanjut daripada imam, pengerusi serta ahli jawatankuasa surau yang menghalangnya daripada solat di saf hadapan.

 

Perkongsian itu bukan saja mendapat respon Zulkifli malah warganet juga memuji sikap kanak-kanak itu yang ternyata bersemangat untuk mendapatkan penjelasan lanjut berdasarkan hadis dan al-Quran terhadap larangan itu.

“Walaupun masih budak (kanak-kanak), saya solat dengan khusyuk. Bukan semua budak suka main (bermain) ketika solat. Sewaktu saya di Makkah dan Madinah saya tidak pernah dihalang untuk solat di belakang,” katanya dalam surat itu.

Ibu kanak-kanak itu, Nazira Rahim menerusi laman Twitter hari ini memaklumkan surat berkenaan diutuskan anaknya dua tahun lalu ketika berusia lapan tahun.

“Surat ini diserahkan kepada pihak masjid berkenaan dan selepas kejadian, dia (Nadzrul) tidak dihalau untuk solat di saf belakang,” katanya. -My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *