home Kolumnis, Semasa Kembalikan identiti asal seorang muslim terikat dengan Islam

Kembalikan identiti asal seorang muslim terikat dengan Islam

1. SETIAP kita ada pengenalan diri kita masing-masing. Dokumen paling penting yang memperkenalkan diri kita adalah kad pengenalan kita. Di samping maklumat nama dan nombor pengenalan, agama adalah antara maklumat terpenting yang tertera di dalam kad pengenalan kita, kerana pengenalan agama dalam kad pengenalan kita akan memberikan kita hak-hak kita sebagai seorang muslim samada semasa kita hidup mahupun selepas kita mati.

2. Semasa kita hidup, orang yang bukan Islam, selama mana mereka hormat kepada kita sebagai seorang Muslim , mereka tidak akan menawarkan sesuatu yang diharamkan oleh Islam kepada kita seperti tidak mempelawa kita minum arak atau pun makan babi. Seperti mana kita umat Islam menghormati orang yang beragama Hindu dengan tidak mempelawanya memakan daging lembu.

3. Pentingnya identiti ini juga dapat dilihat jika kita mati walaupun ditengah-tengah masyarakat bukan Islam , apabila kad pengenalan kita mencatatkan kita sebagai muslim, jenazah kita akan diserahkan kepada orang Islam untuk diselenggarakan.

4. Namun tidak dinafikan ada juga di kalangan orang Islam yang tertera di kad pengenalannya sebagai muslim atau muslimah tetapi cara hidupnya tidak menggambarkan dirinya sebagai muslim atau muslimah seperti membuka aurat, minum arak , berjudi dan sebagainya. Status orang ini, selama mana ia tidak menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal maka dia adalah beridentitikan masih muslim namun berdosa. Dalam erti kata lain , dia Islam pada jati dirinya, tetapi operasi hidupnya masih belum sempurna Islamnya. Orang ini masih berpeluang untuk bertaubat dan diajak ke pangkal jalan.

5. Begitu juga dengan negara ini. Dokumen terpenting bagi memperkenalkan identiti sesebuah negara adalah pada undang-undang dan Perlembagaannya. Kalau diibaratkan Malaysia ini sebagai seorang manusia, maka identiti nya adalah negara yang beragama Islam.

6. Seawal Artikel 3 Perlembagaan Negara telah menjelaskan bahawa Islam adalah agama Persekutuan di samping beberapa artikel yang lain seperti 11(4), 12(2), 121 (1A), 160 dan sebagainya. Dalam masa yang sama tiada satu agama pun yang secara terkhusus dan spesifik disebut di dalam Perlembagaan negara mahupun perkataan sekular bahkan yang hanya tercatat di beberapa tempat di dalam Perlembagaan negara adalah Islam.

7. Soalan biasa yang akan timbul ialah “ bagaimana boleh di anggap negara ini negara beragama Islam sedangkan kilang arak masih produktif , pusat judi masih menjadi tarikan pelancong, pusat-pusat hiburan masih meriah?”

8. Maka jawapannya sama seperti seorang Islam yang di dalam kad pengenalannya tertulis Islam tapi masih membuka aurat, minum arak dan sebagainya. Negara ini ‘batang tubuhnya Islam’ tetapi operasinya masih perlu diperbaiki.

9. Bukanlah tulisan ini bermaksud untuk membela muslim dan muslimah yang bermaksiat kepada Allah dengan berselindung atas nama aku masih Islam ataupun terus mewajarkan negara ini terus menerus meluluskan lesen-lesen arak, hiburan dan ketirisan urus tadbir semata-mata bersandarkan negara ini negara Islam, sebaliknya tulisan ini ingin menyedarkan pembaca secara individu kembali kepada identiti asal kita sebagai seorang Islam yang terikat dengan peraturan Islam dan selama mana kita bangga dengan cara hidup kita sebagai Muslim, orang bukan Islam akan menghormati kita.

10. Begitu juga sebagai sebuah negara, sepatutnya umat Islam keseluruhannya baik pemimpin mahupun rakyat menggunakan kesempatan identiti negara sebagai negara Islam bahkan diwajarkan dengan perlembagaan yang ada untuk mempertingkatkan pengoperasian negara secara Islam dan memencilkan idea-idea ganjil dari ajaran Islam seperti liberalisme, pluralisme agama, hak asasi manusia plagiat barat dan lain-lain.

11. Secara disedari ataupun tidak , sedang berlaku gerak kerja sangat licik dan teratur untuk merubah jati diri negara ini dengan menafikan Islam sebagai asas kenegaraan negara Malaysia yang tercinta ini.

12. Moga dengan kepimpinan yang baru di Malaysia ini mampu memperteguhkan semula identiti Negara ini merujuk kepada Perlembagaan yang ada umumnya dan paling penting merujuk kepada Perlembagaan paling utama dalam Islam iaitu al-Quran.

Sahibus Samahah Haji Zamri Hashim
Timbalan Mufti Negeri Perak

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *