home Semasa Tangani bersama penyebaran wabak

Tangani bersama penyebaran wabak

 

1. DALAM situasi yang semakin membimbangkan hari ini, setiap Muslim seharusnya berkerjasama dalam membantu dan mengawal penyebaran wabak Covid-19. Hadkan pergerakan kita serta lakukan langkah pencegahan. Ini bagi memastikan penularan wabak ini dapat dibendung.

2. Menurut al-Imam Ibn Kathir, wabak taun pernah melanda wilayah al-Syam. Ketika perkara ini berlaku Saidina Umar dikatakan sudah pun dalam perjalanan menuju ke Syam. Mendengar kewujudan wabak ini, beliau membatalkan hasrat untuk masuk ke wilayah tersebut.

3. Keputusan Umar ini disokong penuh oleh Saidina Abdul Rahman bin Auf. Menurut Abdul Rahman, beliau pernah mendengar satu hadith yang diungkapkan oleh Rasulullah berhubung perkara ini. Sabda Baginda Nabi:

إذا سَمِعْتُمْ بالطَّاعُونِ بأَرْضٍ فلا تَدْخُلُوها، وإذا وقَعَ بأَرْضٍ وأَنْتُمْ بها فلا تَخْرُجُوا مِنْها

“Sekiranya kamu mendengar tentang (penyebaran wabak) taun di sesuatu tempat, maka janganlah kamu masuk ke tempat itu, dan sekiranya kamu telah pun berada di kawasan (penyebaran penyakit) itu, maka janganlah kamu keluar darinya.” (Hadith riwayat al-Bukhari)

 


4. Hadith ini menunjukkan bagaimana Rasulullah membimbing para sahabat agar mengawal pergerakan mereka bagi memastikan isu penularan penyakit boleh dikawal.

5. Dalam hal ini juga, Setiausaha Agong Kesatuan Ulama Sedunia, Sheikh Dr. Ali Al-Qaradaghi berpandangan bahawa sekiranya terdapat bukti yang jelas, bahawa penyebaran penyakit boleh meningkat rancak dengan perhimpunan umat Islam, maka ibadah seperti Umrah dan Haji juga boleh ditangguhkan sementara.

6. Pendapat yang sama turut dikongsi oleh badan berautoriti agama di Saudi dan Mesir. Di Saudi, tindakan untuk mengetatkan kawalan visa umrah dan haji telah pun dilaksanakan. Ini bagi mengelakkan serangan penyebaran wabak SARS seperti yang pernah menimpa wilayah Asia pada tahun 2003.

7. Manakala Kementerian Waqaf Mesir pula mengeluarkan kenyataan yang jelas berhubung penutupan masjid dari menghimpunkan manusia untuk menunaikan Solat Jumaat sekiranya ancaman penyebaran penyakit telah dinyatakan secara pasti oleh pakar kesihatan.

Semoga Allah mengurniakan kesejahteraan buat umat manusia.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Majlis Ulama ISMA

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *