home Semasa Berhenti menggunakan nama sahabat Nabi

Berhenti menggunakan nama sahabat Nabi

 

1. DALAM pergelutan politik tempatan yang berlaku, janganlah pula diheret nama Sahabat Nabi sebagai justifikasi tindakan kita. Janganlah disamakan neraca pertimbangan para sahabat yang mulia dengan langkah politik kita.

2. Sesungguhnya perselisihan Saidina Ali dan Saidina Muawiyyah adalah bagi memperjuangkan keadilan dengan sisi pandang yang berbeza. Muawiyyah memperjuangkan keadilan ke atas Saidina Uthman yang dibunuh. Beliau tidak bertindak atas kepentingan peribadi.

Perkara ini direkodkan oleh al-Imam al-Zahabi yang menceritakan dialog pertemuan di antara Muawiyyah dengan Abu Muslim al-Khaulani. Ketika Muawiyyah ditanya: “Mengapa engkau memusuhi Ali? Muawiyyah menjelaskan:

والله إني لأعلم أن علياً أفضل مني، و إنه لأحق بالأمر مني، و لكن ألستم تعلمون أنّ عثمان قتل مظلومـاً، و أنا ابن عمه، و إنمـا أطلب بدم عثمان.

“Demi Allah aku mengetahui bahawa Ali adalah lebih baik dariku dan beliau mempunyai hak yang lebih utama dariku. Akan tetapi, tahukah kalian bahawa Uthman telah dibunuh secara zalim, dan aku adalah sepupunya. Apa yang aku perjuangkan adalah menuntut bela darah Uthman.” (al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala)

3. Manakala Saidina Ali pula berusaha menyatukan ummah bagi mewujudkan ketenteraman dalam wilayah Islam. Bagi Ali, perjuangan mengukuhkan wilayah Islam lebih utama ketika itu. Ali bukan berperang kerana jawatan. Dengan sebab itu al-Imam Ibn Taimiyyah menjelaskan bahawa:

وعلي لم يقاتل أحداً على إمامة من قاتله، و لا قاتل أحداً على إمامته نفسه، و لا ادعى أحدٌ قط في زمن خلافته أنه أحق بالإمامة منه

“Dan Saidina Ali bukan berjuang untuk mendapatkan kepimpinan (khilafah/imamah) yang cuba diambil daripadanya, Ali juga bukanlah berjuang untuk mendapatkan kuasa bagi dirinya sendiri. Bahkan tidak ada seorang sahabat pun yang mendakwa lebih layak dari Saidina Ali dalam perkara khilafah ini ketika itu.” (Ibn Taimiyyah, Minhaj al-Sunnah)

 

 

4. Kedua sahabat yang mulia ini turut menjadikan al-Quran sebagai sumber rujukan ketika perselisihan berlaku. Al-Imam al-Tabari merekodkan perjanjian damai mereka di dalam proses tahkim yang menyebutkan:

إنَّا نَنزل عند حكم الله عز وجل وكتابه، ولا يجمع بيننا غيرُه

“Kami hanya turun (merujuk) kepada hukum Allah dan KitabNya, dan tidak ada yang menyatukan kami selain (Allah dan KitabNya).” (Tarikh al-Tabari)

5. Jelas disini bahawa perselisihan dua sahabat ini adalah bagi menuntut keadilan hak Muslim, memperjuangkan ketenteraman dan kesatuan wilayah Islam serta keduanya menjadikan al-Quran sebagai panduan mereka.

6. Timbul persoalan disini, apakah perselisihan politik tempatan hari ini mempunyai ciri perselisihan di atas sehingga ada yang sanggup mencipta analogi, menyamakan langkah politik mereka dengan perselisihan sahabat?

Adakah perselisihan mereka adalah usaha memperjuangkan keadilan orang yang dizalimi? Benarkah mereka berselisih kerana menyatukan ummah? Dan apa yang lebih utama, apakah mereka menjadikan al-Quran sebagai rujukan ketika perselisihan berlaku?

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *