home Semasa Cara terbaik solat tarawih di rumah

Cara terbaik solat tarawih di rumah

 

1. Ramadan telah hampir. Kemungkinan 1 Ramadhan akan jatuh pada 23 April 2020 akan datang. Marhaban bi ramadhan, wa marhaban bi syahril Quran.

2. PKP akan dilanjutkan sekurang-kurangnya sehingga 28 April. Manakala Sultan Selangor sudah pun bertitah baru-baru ini meminta umat Islam solat terawih dan solat berjemaah di rumah sehingga 31 Mei. Maknanya akan berlanjutan sehingga ke akhir Syawal.

3. Maka kita akan ada pengalaman baru yang tidak pernah kita lalui sebelum ini, iaitu melakukan solat terawih bersama keluarga dalam satu ruang di rumah masing-masing. Jika besar keluarga kita, besarlah jemaah solat tersebut. Jika kecil, kecillah jemaah solat terawih itu. Pengalaman baru ini sudah tentu akan disambut oleh umat Islam dengan perasaan berbelah bagi antara sedih, teruja, gembira dan perasaan-perasaan lain yang sukar digambarkan.

4. Saya ingin mencadangkan agar para ketua keluarga mengambil kesempatan ini untuk menjadi imam terawih dan qiam sepanjang Ramadan ini. Mungkin berselang seli dengan anak-anak lelaki yang lain. Cuba habiskan khatam al-Quran sekurang-kurangnya sekali secara berjemaah dengan keluarga. Sebahagiannya di baca dalam terawih dan bakinya di baca dalam tadarus.

5. Ada beberapa pilihan yang boleh dibuat untuk memudahkan ketua keluarga menjadi imam terawih. Pilihan pertama yang paling sukar; hafal satu al-Quran sebelum Ramadhan.

Pilihan lebih praktikal, beli mushaf tahajjud dan letakkan di hadapan ketika menjadi imam. Mushaf itu bersaiz besar. Orang rabun pun boleh baca. Ada kaki khas untuk meletakkannya di hadapan.

Jika tidak ada mushaf tahajjud, pilihan seterusnya adalah pancarkan al-Quran di skrin tv bagi yang memiliki tv yang bersaiz besar. Boleh sambungkan dari telefon bimbit atau dari laptop. Atau gunakan laptop terus bagi yang mempunyai penglihatan yang luar biasa.

Atau apa-apa pilihan lain yang boleh difikirkan lagi.

6. Bolehkah solat dengan melihat mushaf?

Secara umum jumhur membenarkan berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Imam Baihaqi:

عن -عائشة رضي الله عنها- أنها كان يؤمها غلامها ذكوان من المصحف في رمضان.
“Dari Aisyah ra bahawa hambanya Zakwan mengimamkan solatnya dengan membaca dari mushaf di bulan Ramadhan.”

Imam Nawawi berkata:

لو قرأ القرآن من المصحف لم تبطل صلاته، سواء كان يحفظه أم لا، بل يجب عليه ذلك إذا لم يحفظ الفاتحة، ولو قلب أوراقه أحيانًا في صلاته لم تبطل.
“Jika sekiranya beliau membaca al-Quran dari mushaf, tidaklah batal solatnya samada beliau menghafaznya atau tidak menghafaznya.Bahkan wajib baginya melihat mushaf jika beliau tidak menghafaz al-Fatihah. Jika beliau membalik-balikkan mukasurat al-Quran sekali sekala di dalam solatnya, solatnya tidak batal.”

Tetapi untuk berhati-hati dan keluar dari khilaf ulamak, lakukanlah begini hanya di dalam solat sunat sahaja.

7. Bagaimana jika solat dengan memegang mushaf atau telefon bimbit di tangan?

Terdapat khilaf. Saya cenderung kepada pandangan yang mengatakan tidak boleh jika ada pilihan meletakkan mushaf di hadapan. Pertama, kerana akan banyak pergerakan tangan yang tidak terkawal. Kedua, kerana akan menghilangkan khusyuk kerana kita akan menyelak mushaf (menanda, mencari mukasurat dan sebagainya) bila berpindah rukun fi’li, atau akan sibuk ‘on off’ telefon bimbit. Perbuatan itu semua eloknya dielakkan agar dapat mencapai khusyuk dengan sempurna.

8. Ketua keluarga jangan bimbang jika bacaan al-Qurannya tidak begitu baik atau suaranya tidak sedap. Isteri dan anak-anak akan redha sahaja. Dalam mazhab Syafie, sesiapa yang bacaannya sah untuk dia solat seorang diri, maka dia sah menjadi imam bagi solat berjemaah.

9. Anggaplah ini sebagai pengalaman berharga yang tidak akan berulang di masa-masa akan datang. Apa juga yang Allah takdirkan kepada kita, pasti ada hikmah yang kita tidak tahu.

Wallahu a’lam

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

2 thoughts on “Cara terbaik solat tarawih di rumah

  1. Assalamualaikum Ustaz,

    Untuk membaca terus dari mushaf, boleh atau tidak saya membaca satu muka surat untuk satu rakaat? Atau adakah bilangan ayat tertentu untuk setiap rakaat.

    جزاك اللهُ خيراً

    Muhammad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *