home Semasa Islamophobia? WAFIQ kesal tudung untuk ‘frontliner’ dijadikan isu

Islamophobia? WAFIQ kesal tudung untuk ‘frontliner’ dijadikan isu

BANGI – Perikatan Wanita Antarabangsa Untuk Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) kesal apabila masih lagi ada pihak mempolemikkan isu tudung muslimah tatkala negara sedang menghadapi krisis COVID-19.

Presidennya, Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar menyifatkan perkara itu sesuatu yang melukakan hati apabila melihat dianggap masalah dalam kalangan pihak tertentu yang boleh dikatakan sesetengah daripada mereka mempunyai pengaruh.

Beliau menempelak tindakan mereka yang mempertikaikan pemberian tudung kepada petugas barisan hadapan atau frontliner sebagai sesuatu yang tidak patut, hanya kerana ia dikatakan refleksi kepada sesetengah frontliner Melayu dan muslim sahaja.

“Sedangkan bagi frontliner muslimah, tudung adalah sesuatu yang asas bagi mereka kerana mereka mematuhi ajaran agama sambil memberikan khidmat. Dan mereka memberikan khidmat kepada semua pesakit COVID-19 tanpa mengira agama, bangsa dan juga jantina.

“Kita amat kesal kerana selama setelah beberapa tahun kita hidup bersama sebagai satu masyarakat, masih lagi ada pihak yang tidak memahami bahawa ada cara berpakaian dan keperluan seseorang itu mematuhi agamanya dalam melakukan pekerjaannya.

“Oleh itu, saya rasa kritikan ini tidak berasas sama sekali,” katanya dalam temubual Program Pertiwi Eksklusif, hari ini.

Baru-baru ini, terdapat pertikaian berkenaan sumbangan tudung dengan nilai anggaran RM280,000 yang disalurkan oleh MedTweetMY kepada petugas barisan hadapan.

Timbul isu apabila sesetengah pihak mempertikai pemberian tudung kepada staf kesihatan yang didakwa digunakan dari tabung COVID-19 kutipan dari orang awam. Mereka turut menganggap projek agihan tudung itu sebagai satu pembaziran.

Ketika ditanya sama ada kritikan berhubung isu bukti kepada Islamophobia, Dr Rafidah berpendapat bahawa memang ada “on-going” Islamophobia.

Katanya, sebahagian daripada badan sivil seperti WAFIQ dan Pusat Malaysian Alliance Of Civil Society Organisations in the UPR Process (MACSA) terpaksa melihat dan memantau kerana secara mudah boleh mencetuskan ketegangan dan keresahan kepada umat Islam.

“…Saya tidak mahu nanti akan ada isu tudung-tudung jururawat dipersoalkan kerana menggunakan peruntukan kerajaan. Saya tidak mahu kita masih lagi melihat keperluan beribadah muslimah dikatakan kepada sesuatu yang tidak adil dan membebankan negara.

“Di sini saya nampak bibit-bibit Islamophobia terutama kepada wanita muslimah kerana jelas pemakaiannya,” katanya.

Lantaran itu beliau menggesa tindakan diambil supaya isu berkenaan tidak berkembang menjadi barah pada masa akan datang hingga sukar untuk dirawat. – ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

 

 

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *