home Kalam Tokoh, Tarbiah Perlumbaan semakin hampir

Perlumbaan semakin hampir

 

Inilah perlumbaan yang menjadikan para salafussoleh hampir-hampir tidak mengenali antara satu sama lain kerana terlalu fokus kepada amalan ketaatan dan ibadah di bulan Ramadan. Lalu setelah berlalunya sebulan Ramadan dalam ibadah dan taqarrub, mereka pun saling berjumpa antara satu sama lain di pagi Aidil Fitri seraya mengucapkan: Taqabbalallah minkum. Semoga Allah SWT menerima segala amalan kebaikanmu. Itulah sebaik-sebaik generasi selepas generasi Rasulullah SAW dan para sahabat RA.

Ibnu Qayyim berkata: Golongan yang berlumba di dunia mengejar kebaikan adalah golongan yang berlumba di akhirat mengejar syurga.

Bagaimana mereka boleh mensia-siakan bulan Ramadan yang mulia ini sedangkan Allah SWT telah menawarkan pakej yang sebegitu istimewa:

1. Para malaikat memohon keampunan untuk orang yang berpuasa sehingga mereka berbuka puasa

2. Syaitan dibelenggu

3. Pintu syurga dibuka seluas-luasnya, pintu neraka dikunci rapat

4. Allah SWT akan membebaskan hamba-hambaNya pada setiap malam Ramadan

5. Pahala berlipat kali ganda; pahala satu perbuatan wajib menjadi 70 kali ganda, pahala satu perbuatan sunat menyamai pahala satu perbuatan wajib

Mari kita lihat bagaimana para salafussoleh berlumba mengejar ketaatan pada bulan Ramadan:

Imam Bukhari akan mengkhatamkan bacaan Al-Quran setiap kali menghampiri waktu iftar dan berkata: Pada setiap kali khatam itu adalah waktu mustajab. (Kitab Sifaatussofwah)

Imam As-Syafie mengkhatamkan Al-Quran sebanyak 60 kali pada bulan Ramadan (Kitab Sifaatusofwah)

Ibnu Rajab Al-Hanbali berkata: Larangan Nabi SAW daripada seseorang khatam Al-Quran kurang daripada 3 hari sekiranya dilakukan secara berterusan. Adapun pada waktu yang diberkati seperi bulan Ramadan lebih-lebih lagi pada malam untuk mencari Lailatul Qadr maka disunatkan untuk memperbanyakkan bacaan Al-Quran bagi merebut peluang yang ada pada waktu itu.

Saya cadangkan untuk kita yang tidak memahami bahasa Arab dengan baik untuk membaca Al-Quran sebanyak yang mampu beserta tadabbur makna dan terjemahan bagi mendapatkan cahaya Al-Quran dalam kehidupan ini. Mungkin itu lebih sesuai untuk kita.

Shaddad bin Aus tiap kali mahu berbaring untuk tidur pada malam-malam Ramadan akan berkata kepada dirinya: Ya Allah, api neraka jahannam tidak akan membiarkan aku tidur, lalu dia terus bangun mendirikan solat malam.

Ibnu Qayyim berkata: Membazir masa lebih bahaya daripada kematian kerana membazir masa memutuskan seseorang daripada Allah SWT dan akhirat, kematian pula memisahkannya dari dunia dan ahli keluarga.

Semoga kita saling berlumba-lumba untuk mengisi Ramadan kali ini dengan sebaiknya dan menjauhkan diri dan ahli keluarga daripada segala pintu kemaksiatan.

Ustaz Shuhaib Ar-rumy Selamat
t.me/ustazshuhaibarrumy

 

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *