home Kolumnis, Semasa Rindukan masjid dan Salahuddin al-Ayyubi

Rindukan masjid dan Salahuddin al-Ayyubi

 

MAJORITI umat Islam pastinya rindu untuk pergi ke masjid untuk beribadah, dan sebahagiannya mengharapkan kelonggaran kebenaran di waktu PKP masih berlangsung ini.

Saya ingin membawa kita bersama menghayati kisah Salahuddin al-Ayyubi, seorang pemimpin dan panglima agung dalam Islam yang berjaya membebaskan semula Baitulmaqdis.

Ketahuilah bahawa beliau tidak sempat menunaikan haji sepanjang hidupnya, walaupun selepas pembebasan Baitulmaqdis.

Bukannya beliau tidak mahu, Ibn Shaddad, seorang qadhi yang hidup di zaman Salahuddin yang menulis kitab terawal tentang biografi beliau menceritakan bahawa Salahuddin sangat teringin untuk menunaikan rukun Islam tersebut.

Namun mengapa beliau tidak pergi menunaikannya? Sebagai seorang Sultan pastinya Salahuddin lebih dari berkemampuan untuk melakukan perjalanan menunaikan haji.

Di sini kita perlu memahami situasi zaman Salahuddin yang begitu rumit dengan konflik. Peperangan dengan tentera Salib belum berakhir dan perebutan kuasa sesama kerajaan kecil Islam sentiasa berlaku, sehingga ada yang sanggup khianat bekerjasama dengan musuh.

 

 

Pemergian Salahuddin keluar dari negara untuk satu tempoh yang panjang pastinya membuka ruang kepada musuh mengambil kesempatan, yang akhirnya menggugat kestabilan dan keselamatan negara.

Antara faktor wilayah-wilayah Islam dapat bersatu waktu tersebut adalah kerana pengaruh Salahuddin yang begitu kuat, pemergian beliau pasti akan membuat perperangan dalaman sesama muslim bermula dan seterusnya membuka pintu kepada tentera Salib.

Salahuddin berkorban mengutamakan kefardhuan menjaga kestabilan dan keselamatan negara berbanding kefardhuan peribadi menunaikan haji.

Diceritakan bahawa beliau berniat untuk bertolak menunaikan haji di hujung umurnya, namun pada waktu tersebut beliau sudah terlalu tenat dan tidak mampu untuk pergi.

Pada hari Rabu, 27 Safar 589H, pulanglah Sultan Salahuddin al-Ayyubi ke rahmatullah pada usia 57 tahun selepas berhempas pulas mengembalikan dan mempertahankan tanah air umat Islam.

Bersabarlah dengan ujian yang menghalang kita untuk menjejakkan kaki ke masjid buat sementara waktu, anggaplah ini sebagai ‘ribath’ kita dalam mempertahankan negara.

Ahmad Nu’man bin Mazlan
3 Ramadan 1441H

Gambar: Kenangan menziarahi maqam Salahuddin al-Ayyubi di Damsyik, Syria tahun 2010.

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *