home Semasa, Tarbiah Tarbiyah: Memperkasa roh dan menundukkan nafsu

Tarbiyah: Memperkasa roh dan menundukkan nafsu

Manusia di cipta oleh Allah dengan komponen roh dan nafsu. Tarikan roh akan membawa manusia ke puncak kemuliaan, yang menyaingi bahkan lebih baik dari kemuliaan Malaikat. Tarikan nafsu pula akan membawa manusia ke lembah kehinaan, bahkan lebih hina daripada binatang. Keadaan jiwa manusia sentiasa berbolak-balik antara tarikan roh dan tarikan nafsu ini.

Matlamat utama tarbiyah ialah supaya dapat memandu dan memperkasa roh seterusnya memberikan kekuatan kepada roh untuk menundukkan hawa nafsu. Hanya dengan menundukkan hawa nafsu, dan memastikan bahawa keinginan dan dorongan nafsu sentiasa dikekang akan membawa kepada kemuliaan insan.

Antara tabiat hawa nafsu yang perlu dikenali ialah angkuh, mudah marah, bodoh sombong, sentiasa ingin menang, pura-pura, malas, tamak, pentingkan diri atau individualistik, gopoh, tergesa-gesa dan kebudak-budakan. Sifat-sifat ini akan terzahir apabila seseorang dikuasai nafsu. Pastinya kita pernah merasa marah yang menyirap, yang seandainya tidak dikawal akan memungkinkan kita buat apa sahaja. Inilah yang terjadi apabila nafsu menguasai.

Tarbiyah sepatutnya membantu setiap insan yang ditarbiyah supaya mengenali hawa nafsunya sendiri, sehingga seseorang itu mampu memastikan apakah punca asal atau sumber setiap gerak hatinya sendiri. Adakah sesuatu gerak hati atau keinginan itu berpunca dari tarikan roh atau tarikan nafsu.

Selepas seseorang itu mampu mengenal pasti yang mana satu ialah tarikan nafsu, seterusnya tarbiyah perlu melengkapkan seseorang dengan kemampuan untuk menundukkan nafsu dan memandu setiap keinginannya supaya sentiasa mematuhi kehendak syarak. Kemampuan menundukkan dan memandu hawa nafsu sebenarnya terletak kepada kekuatan roh. Kekuatan roh dibina dengan ketaqwaan dan ketundukan kepada Allah.

Inilah yang menyebabkan rutin-rutin program tarbiyah di susun supaya sarat dengan amalan-amalan sunat selepas daripada penyempurnaan amalan wajib. Sepatutnya amalan-amalan ini bukan sahaja dilazimi sehingga menjadi rutin harian, bahkan sepatutnya memberi kesan yang mendalam dalam jiwa dan pembinaan roh.

Pengalaman dalam dunia tarbiyah merakamkan ada orang yang ikut-ikut dalam program-program tarbiyah dan memilih-milih aktiviti yang disukai, yang suka akan majlis ilmu akan mengambil manfaat daripada ilmu yang dibincangkan, yang suka berukhwah mengambil kemanisan ukhuwah, tidak kurang juga yang mengambil kesempatan dalam pelbagai bentuk, atas maslahah keduniaan. Ada juga yang suka mengikuti pelbagai program tarbiyah daripada banyak pihak dalam satu-satu masa dengan pelbagai sebab dan alasan.

Akhirnya, mereka yang tergolong dalam beberapa contoh ini tidak akan mampu bertahan dengan tarbiyah untuk jangka masa panjang. Ini adalah kerana, program-program dan wasilah tarbiyah yang diikuti gagal memberi kekuatan kepada roh, bahkan yang diikut cuma hawa nafsu mereka sendiri.

Mereka bersama dalam perkara yang sesuai dengan hawa nafsu, sebaliknya segera ‘switch off’ dalam perkara yang tidak disenangi oleh nafsu. Di sinilah letaknya kepentingan mujahadah melawan nafsu dan meletak hawa nafsu pada satu keadaan terperosok sehingga boleh dibentuk, selari dengan kehendak syarak.

Inilah yang dimaksudkan daripada dalam hadis dari ‘Abdullah bin ‘Amr bin Al-‘Ash RA, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda;

لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يَكُوْنَ هَوَاهُ تَبَعًا لِمَا جِئْتُ بِهِ

“Tidaklah beriman salah seorang di antara kalian sampai ia menundukkan hawa nafsunya untuk tunduk pada ajaran yang aku bawa.” (Diriwayatkan dalam kitab Al-Hujjah dengan sanad yang sahih menurut Imam Nawawi. Namun penyahihan hadis ini tidak tepat menurut Ibnu Rajab).

Menundukkan nafsu adalah syarat untuk mencapai kejayaan

Allah berfirman di dalam Al-Quran, dalam dua ayat berasingan, dalam surah Al-Hasyr (59:9) dan dalam Surah At-Thaghabun (64:16) bahawa sesiapa yang mampu menundukkan hawa nafsunya, maka dia akan tergolong di kalangan orang yang berjaya. Sesungguhnya, kejayaan dalam bidang apa pun cuma mampu di capai apabila seseorang itu berjaya menundukkan nafsunya sendiri. Ini adalah satu kebenaran yang tidak dapat di sangkal.

Dalam tamadun barat yang mendewa-dewakan nafsu pun, kita melihat apabila kita meneliti faktor-faktor kejayaan mereka yang berjaya, sebenarnya ada elemen mujahadah melawan nafsu yang mereka amalkan.

Elemen disiplin, kerja keras, kesungguhan, sabar menghadapi ujian, meninggalkan kerehatan dan usaha yang berulang-ulang adalah sebenarnya bertentangan dengan kehendak nafsu. Apatah lagi dalam usaha mendekatkan diri kepada Allah, membina jati diri mujahid, membangunkan potensi diri, tentunya amat memerlukan kepada keupayaan menundukkan hawa nafsu.

Keupayaan menundukkan nafsu ini sebenarnya perlu diperhalusi sepanjang perjalanan di atas jalan tarbiyah. Ini kerana tipu daya nafsu sangat halus, apatah lagi angkara Iblis dan syaitan yang selalu menghiaskan sesuatu amalan supaya nampak elok dan selari dengan nas syarak, padahal sebenarnya berteraskan kepada tuntutan nafsu. Inilah yang masih mungkin berlaku sekalipun untuk mereka yang telah lama berada di atas jalan tarbiyah, bahkan boleh menimpa golongan ilmuwan.

Kita lihat di depan mata kita, ada orang yang semakin banyak ilmunya, semakin banyak pula alasan dan dalil untuk mengabsahkan segala tindakan dan pendirian mereka, sekalipun dengan memutarbelitkan nas-nas syarak. Mungkin sahaja ada tindakan yang disandarkan atas kepentingan dakwah dan tarbiyah, tetapi sebenarnya bertitik-tolak daripada tolakan nafsu dan kepentingan diri.

Kehalusan tipu daya ini memerlukan setiap insan sentiasa bertaqarrub dengan Allah dan berhubung erat dengan murabbi, agar setiap langkah, lintasan dan gerak hatinya mendapat panduan daripada Allah dan segera diperbetulkan oleh murabbi dan rakan-rakan di atas jalan tarbiyah.

Mereka yang mampu menyucikan diri dari tipu daya nafsu sungguh akan menjadi orang yang berjaya. Hidup mereka akan terpandu dengan tarikan roh. Apa sahaja yang yang mereka lakukan dalam hidup mereka akhirnya akan beroleh pahala ibadah, apabila semuanya dapat diselarikan dengan tuntutan syarak, dalam lingkungan batasan syarak.

Akhirnya, tarikan roh akan menarik kita ke arah kemuliaan bersama penghuni-penghuni langit, manakala tarikan nafsu akan menarik kita supaya melekat di bumi, yang diistilahkan oleh Allah dalam surah At-Taubah (9:38) sebagai “thaaqaltum il al-ardh”, melekat di bumi, redha dengan kehinaan dunia.

Catatan, olahan dan adaptasi dari ulasan Nota Untuk Naqib oleh Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman

Hj Zaizul Azizi Hj Zaman
Ahli Jawatankuasa Pusat Isma

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *