home Semasa Wabak seperti COVID 19: Jisim halus yang menakluki dunia

Wabak seperti COVID 19: Jisim halus yang menakluki dunia

Penularan wabak ini bukanlah suatu benda diluar tabiat alam yang berlaku dalam sejarah peradaban manusia. Sekiranya orang dulu mendakwa bahawa wabak ini disebut sebagai balasan Tuhan “God’s wrath”, kini ramai yang menuduh wabak itu senjata biologi buatan manusia (konspirasi) ataupun hanya sebagai bencana dunia dan sebagainya.

Penularan dan serangan wabak tidak pernah kenal siapa, daripada agama mana dan berapa banyak harta yang ada. Walaupun banyak dikisahkan jumlah terbesar kematian dalam sejarah adalah daripada peradaban Eropah. Peradaban Islam juga tidak lari daripada diuji dengan wabak.

Wabak paling terkenal dalam dunia Islam pada zaman Umar Al-Khattab ialah wabak Ta’un pada abad ke-5 yang berlaku di Amwas, Syam. Akibat daripada itu, Abu Ubaidah Al-Jarrah dan Mu’az bin Jabal, dua sahabat besar nabi meninggal dunia termasuk 25 ribu tentera muslimin turut terkorban.

Pada masa yang sama, di Eropah juga tidak lari daripada penularan wabak yang dikenali sebagai Plague of Justinian. Nama wabak diambil sempena nama maharaja yang bernama Maharaja Justinian I (482-585M). Paling kritikal berlaku pada 2 tahun pertama (541-541M). Wabak tersebut berlaku berulang-ulang kali sehinggalah ke abad ke-7 dan dianggarkan jumlah kematian adalah sebanyak 30-50 juta orang.

Selang beberapa abad, dunia ditimpa satu pandemik global yang paling kronik dalam sejarah peradaban manusia ialah “The Black Death” yang berlaku pada abad ke-14. Wabak ini disebabkan oleh bakteria bernama Yersinia pestis, pembawanya ialah sejenis kutu yang ada pada tikus. Wabak ini didakwa berasal daripada China dan dikaitkan dengan penaklukan Mongol pada awal 1330-an. Mula merebak di Wubei pada 1334 dan merebak ke seluruh Asia. Jumlah terkorban mencecah 25 juta nyawa dalam masa 15 tahun. Pada 1340-an, wabak ngeri ini mula merebak ke Eropah. Jumlah kematian di Eropah mencecah sehingga 25 juta kematian. Anggaran nyawa terkorban dek kerana wabak ini berjumlah antara 75-200 juta manusia di seluruh dunia!

Dunia Islam juga tidak lari daripada wabak yang paling ngeri ini dalam sejarah pada 749H. Al-Imam Ibnu Kathir yang hidup pada zaman tersebut turut merasai ancaman wabak pandemik ini yang berlaku di kota Damsyik. Dianggarkan pada ketika itu wabak meragut nyawa penduduk Damsyik lebih 200 orang sehari. Jumlah kematian semakin meningkat setiap hari sehinggakan pada ketika itu penduduk hanya sibuk dengan menguruskan jenazah untuk dikebumikan dan terjejas urusan seharian mereka.

Ada juga tokoh-tokoh dan anak-anak murid Sheikhul Islam Ibnu Taimiyyah yang terkorban antaranya adalah Al-Imam Shihabuddin Ibnu Fadhlillah Al-‘Umari (sarjana ilmu sastera, geografi dan ketamadunan Islam sebelum Ibnu Khaldun), Sheikh Ibnu Rushayyiq Al-Maghribi, Imam Abu Hafs Al-Bazzar, Ibnu Bukhaikh Al-Hanbali, Imam Nuruddin Ibnu al-Sa’igh, Sheikh Ali Al-Maghribi, Sheikh Ibnu Al-Muhib (anak-anak murid Ibnu Taimiyyah). Semoga Allah merahmati mereka dan dimasukkan ke dalam Syurga.

Bagi yang mengimani bahawa Allah itu Maha Esa, setiap perkara yang berlaku pasti ada sebab dan musabab. Diturunkan azab ada sebabnya, diberikan rezeki dan rahmat juga ada sebabnya. Seluruh dunia sedang berperang dengan makhluk yang begitu halus jisimnya seakan-akan ghaib sifat zahirnya daripada pandangan mata kasar. Adat peperangan menyebut bahawa mereka yang berdisiplin tinggi, kuat dan berkelengkapan pasti akan menang. Sekiranya hendak menang melawan wabak, perbanyakkanlah berdoa dan berharap sepenuhnya kepada Allah supaya diketemukan penawarnya. Allah sahajalah tempat kebergantungan untuk seluruh makhluk-makhluk-Nya. Selamat berjuang!

 

Anas Bin Zamri Hashim
Pelajar Kuliah Syariah Islamiah di Universiti Al-Azhar, Mesir

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

 

 

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *