home Kolumnis, Semasa Fitrah pemimpin lebih banyak fikir kesempitan rakyat

Fitrah pemimpin lebih banyak fikir kesempitan rakyat

1. Dalam banyak situasi, Rasulullah dilihat berusaha untuk menghayati kesusahan rakyat, membantu mereka sedaya yang termampu dan menyantuni keperluan mereka. Sifat ini adalah fitrah semulajadi yang dianugerahkan kepada Baginda. Perkara ini diceritakan sendiri oleh Saidatina Khadijah ketika wahyu mula-mula wahyu diturunkan. Kata Khadijah:

وَاللَّهِ مَا يُخْزِيكَ اللَّهُ أَبَدًا، إِنَّكَ لَتَصِلُ الرَّحِمَ، وَتَحْمِلُ الكَلَّ، وَتَكْسِبُ المَعْدُومَ، وَتَقْرِي الضَّيْفَ، وَتُعِينُ عَلَى نَوَائِبِ الحَقِّ

“Demi Allah, Allah tidak akan mensia-siakanmu. Sesungguhnya engkau adalah orang yang menghubungkan silaturrahim, membantu orang yang kesusahan, mengusahakan bagi yang kehilangan, menyantuni orang yang lemah, memuliakan serta membantu mereka yang menegakkan kebenaran. (Sahih al-Bukhari, no: 3)

2. Perhatikan bagaimana Khadijah menyebutkan satu persatu karakter Rasulullah ketika Baginda pulang dalam keadaan menggigil kerana pertama kali berjumpa dengan Jibril pada wahyu pertama. Inilah karakter sebenar seorang pemimpin. Sebelum diangkat menjadi pemimpin lagi mereka adalah golongan yang amat suka membantu golongan yang susah dan memerlukan.

3. Sifat Rasulullah yang selalu menghayati kesusahan rakyat ini turut diselami oleh Saidina Umar. Menurut Saidina Anas bin Malik, ketika pemerintahan Umar, harga barangan telah naik mendadak sehingga Umar sendiri membeli roti murah yang biasa dibeli oleh rakyat bagi menghayati kesusahan mereka. (al-Tartushi, Siraj al-Muluk).

4. Begitulah sifat yang ditunjukkan oleh Rasulullah dan para sahabat agar dapat dijadikan teladan buat para pemimpin. Dalam kemelut penyebaran wabak hari ini, ramai yang ditimpa kesusahan. Ada yang putus mata pencarian, ada yang dibuang kerja, ada yang ditimpa sakit malah ada juga yang terkorban dilanggar pemandu mabuk.

5. Namun, dalam kesukaran yang dihadapi rakyat ini, ada juga pemimpin yang kelihatan masih sibuk dengan kemelut politiknya. Ratib hariannya masih tentang kuasa. Benarlah kata Sufyan al-Thauri, kecintaan manusia pada kuasa menenggelamkan jiwanya dari yang lain.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *