home Semasa Lelaki tendang pekerja wanita Islam Foodpanda akan didakwa

Lelaki tendang pekerja wanita Islam Foodpanda akan didakwa

 

KUALA LUMPUR – Lelaki yang menunjukkan isyarat lucah dan menendang seorang wanita yang juga pekerja penghantar makanan dalam kejadian di Bandar Puteri, Puchong dekat sini, semalam akan dituduh di Mahkamah Petaling Jaya, esok.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat, berkata suspek akan dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mencederakan dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan isyarat yang mengaibkan kehormatan.

“Kita terima dua laporan polis berhubung kejadian itu, semalam masing-masing daripada seorang wanita pekerja penghantar makanan Foodpanda berusia 26 tahun dan seorang lelaki berusia 61 tahun.

“Menerusi laporan polis dibuat wanita itu, kita jalankan siasatan dan kertas siasatan sudah dilengkapkan sebelum dirujuk kepada pihak pendakwa raya hari ini dan arahan telah dikeluarkan untuk menuduh lelaki itu.

“Bagaimanapun, pihak polis masih lagi menjalankan siasatan ke atas laporan yang dibuat oleh lelaki berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, kata beliau pihaknya maklum mengenai penularan beberapa berita palsu di media sosial berhubung kejadian itu termasuk tohmahan mengatakan pihak polis tidak menjalankan siasatan.

“Perlu diingatkan perbuatan itu adalah satu kesalahan jenayah yang boleh diambil tindakan mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Semalam BH melaporkan mengenai satu kejadian perselisihan faham di antara seorang pekerja penghantar makanan dengan seorang pemandu kereta di Jalan Puteri 9/1 Bandar Puteri, Puchong.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, pemandu kereta terbabit memarahi mangsa kerana memotong kereta dipandunya ketika dia mahu membuat pusingan U di situ.

Suspek turut menunjukkan isyarat lucah kepada mangsa dan menendangnya beberapa kali sehingga mangsa terjatuh.

Dalam pada itu dua rakaman video termasuk satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhubung kejadian itu viral di media sosial sejak petang semalam. -bharian

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *