home Semasa Ustaz Ismail Kamus meninggal dunia

Ustaz Ismail Kamus meninggal dunia

 

KUALA LUMPUR – Pendakwah terkenal, Datuk Ismail Kamus meninggal dunia kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi.

Perkara itu disahkan menerusi Facebook rasmi pendakwah berkenaan.

“Duka cita dimaklumkan Tuan Guru Datuk Ismail Kamus meninggal dunia sebentar tadi. Al-Fatihah,” menurut kenyataan di Facebook itu.

Sementara itu, laman Facebook Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia dibanjiri ucapan takziah daripada orang ramai yang berkongsi rasa sedih dengan pemergian Allahyarham.

Ia turut memaklumkan Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di kediaman di Ampang, dekat sini, pada jam 12.30 tengah malam tadi.

“Semoga Allah SWT menempatkan Allahyarham di tempat yang mulia di sisi Allah SWT,” katanya.

Menurut EXCO Penerangan Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia, Abdul Hadi Jusoh, veteran Pas itu dimasukkan ke wad sejak 26 April disebabkan keadaan kesihatan yang agak lemah.

Allahyarham yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia selama sepenggal pada 1999 hingga 2004 dan pernah memegang jawatan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Pendakwah itu kemudian dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada hari sama dan didapati terdapat jangkitan di bahagian paru-paru.

Pada 9 Mei tahun lalu, Allahyarham yang juga Pengasas dan Penasihat Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia dilaporkan menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN).

Allahyarham dilahirkan pada 2 Disember 1948 di Kampung Batang Rening , Ulu Selangor.

 

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Arab Batang Kali sebelum meneruskan pengajian ke Ma’ahad Hisyamuddin, Klang di mana beliau berguru dengan seorang ulama tersohor, Asy-Syeikh Mahmood al-Arif al-Bukhori.

Allahyarham kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Kolej Islam Klang dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan mendapat ijazah Sarjana Muda Syariah dengan kepujian pada 1976.

Allahyarham juga pernah menuntut di Beaver College Pennsylvania, Amerika Syarikat.

Allahyarham pernah bertugas sebagai guru, Pegawai Penyelidik, Pegawai Dakwah selain bertugas selama 15 tahun di pelbagai jabatan seperti di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Pusat Islam.

Jawatan terakhir Allahyarham ialah sebagai Pakar Rujuk di Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) Pusat Islam sebelum bersara secara pilihan.

Allahyarham juga adalah seorang perunding motivasi dan pendakwah bebas dengan memberi ceramah agama di seluruh dunia seperti Brunei Darussalam, Indonesia, Thailand, Singapura, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada dan negara Asia Barat. – bharian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

 

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *