home Semasa Xavier biadab: NGO Islam benteng kedaulatan institusi raja

Xavier biadab: NGO Islam benteng kedaulatan institusi raja

 

BANGI – Usaha badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis ke atas pemimpin PKR, Datuk Dr Xavier Jayakumar yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur penghinaan terhadap sidang Parlimen bukan perkara sia-sia.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, perkara itu dibuktikan apabila Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan pihaknya telah menerima 33 laporan bagi mendakwa Ahli Parlimen Kuala Langat itu.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan desakan perlu dilakukan secara konsisten sehingga satu tindakan diambil terhadap Xavier.

“Selain membuktikan bahawa membuat laporan polis bukan sia-sia, antara hikmah lain yang kita boleh pelajari ialah nilai sebuah kesatuan dan solidariti.

“Jika hanya satu atau dua pihak yang bersuara dalam isu ini, mungkin perkara ini hanya dianggap remeh sahaja dan akhirnya menggalakkan lagi penghinaan-penghinaan sebegini berlaku pada masa akan datang kerana hilangnya rasa takut.

“Saya berharap agar kita semua memantau rapat segala perkembangan lanjut dalam isu ini. Kita tidak mahu perjuangan kita ini tergendala di tengah jalan sahaja. Ingat, kitalah yang menjadi benteng kepada kedaulatan institusi raja-raja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, sebanyak 33 laporan polis diterima berhubung dakwaan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan dan provokasi terhadap sidang Parlimen yang berlangsung, kelmarin.

Mior Faridalathrash berkata, pihaknya sedang giat menyiasat kes membabitkan bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli itu sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

“Kita terima 33 laporan itu di seluruh negara setakat ini. Siasatan sedang dijalankan (membabitkan kenyataan Dr Xavier),” katanya.

Sebelum ini, menerusi satu video berdurasi hampir tiga minit, Xavier menyifatkan persidangan berkenaan sebagai sampah dan tidak berguna.

Xavier dilaporkan berkata, Ahli Parlimen cuma berada sejam sahaja di Dewan Rakyat untuk mendengar titah Yang di-Pertuan Agong atas alasan COVID-19.

Sidang itu dijadual selama sehari, namun dipendekkan untuk mendengar titah Yang di-Pertuan Agong. – ismaweb

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *