home Semasa Zakat Kedah perkenal logo, sijil bantu syarikat pembayar zakat

Zakat Kedah perkenal logo, sijil bantu syarikat pembayar zakat

 

ALOR SETAR – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) membantu mempromosikan syarikat pembayar zakat di negeri ini dengan memperkenalkan sijil dan logo pengesahan Muzakki (pembayar zakat).

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman berkata, tujuan pengesahan sijil tersebut menjadi bukti bahawa syarikat-syarikat berkenaan merupakan pembayar zakat di negeri ini.

Menurutnya, usaha ini akan mampu membantu umat Islam memilih untuk berurusniaga dengan para peniaga yang menunaikan zakat perniagaan pada setiap tahun terutama di Kedah.

“Ini adalah salah satu cara kami membantu pembayar-pembayar zakat di negeri ini. Sehingga kini kami sudah menyiapkan 130 sijil pengesahan Muzakki dan mereka boleh mempamerkan logo dan sijil ini di premis perniagaan ataupun kenderaan rasmi mereka.

“Usaha ini bukan sahaja terhad kepada syarikat produk makanan tetapi kepada semua jenis perniagaan. Perkara ini mampu menjadi inspirasi baru dalam putaran ekonomi membabitkan produk milik usahawan Islam di Kedah,”katanya pada sidang media selepas pelancaran sijil dan logo Muzakki di Menara zakat, Alor Setar hari ini.

Pelancaran disempurnakan oleh Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang.

Menurut Syeikh Zakaria, setiap muzakki akan dibekalkan dengan satu nombor siri khas yang akan dipantau oleh LZNK dari semasa ke semasa serta bagi mengelakkan penipuan sijil.

“Muzakki juga akan dibekalkan dengan satu logo Sahabat Zakat Kedah yang berfungsi seperti logo halal JAKIM bagi tujuan digunakan di semua bungkusan produk yang dikeluarkan syarikat tersebut bagi memberikan keyakinan kepada pembeli bahawa ini adalah produk Muslim dan juga pembayar zakat,”katanya.

Tambahnya, usaha itu juga dilakukan bagi membantu Muzakki yang bakal berdepan cabaran dalam perniagaan terutamanya pada pasca koronavirus (Covid-19).

“Kami percaya pembayar-pembayar zakat ini akan berdepan kesukaran pada tahun 2020 disebabkan oleh Covid-19 dan kami berharap umat Islam akan membantu dengan membeli produk-produk mereka.

“Pada tahun 2019, seramai 4,427 pembayar zakat perniagaan dengan nilai jumlah RM41.7 juta dan bagi tahun 2021 kami jangka ada penyusutan,”katanya.

Syeikh Zakaria berkata, idea memperkenalkan sijil dan logo pengesahan Muzakki timbul semasa kempen Buy Muslim First (BMF) dan mula dilaksanakan di Kedah pada tahun ini.

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *