home Semasa Hentikan terus industri arak!

Hentikan terus industri arak!

BANGI – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) memuji langkah yang ingin diambil Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa untuk membekukan pengeluaran lesen baharu menjual arak dalam menangani kes kemalangan maut yang berpunca daripada kecuaian pemandu mabuk. 

Presiden ISMA, Haji Aminuddin Yahaya mengucapkan tahniah kepada Annuar Musa kerana mengambil tindakan berani untuk mengatasi isu yang dilihat semakin serius sejak kebelakangan ini. 

Bagaimanapun, beliau mengulangi desakannya supaya kerajaan menghentikan terus industri arak di Malaysia, memandangkan ia bukanlah satu keperluan kepada rakyat negara ini.

“Kita cadangan industri ini dihentikan dan sesiapa yang mahu minum boleh import tetapi bukan dikeluarkan di sini (Malaysia). 

“Arak ini minuman utama di pusat-pusat maksiat dan ia akan menggalakkan lagi orang buat maksiat. Tiada agama yang benarkan penganutnya minum arak,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini. 

Terdahulu, Annuar berkata, pengeluaran lesen baharu menjual arak wajar dibekukan sehingga satu garis panduan dan semakan perundangan berkaitan kes pemandu mabuk dapat dilakukan. 

Beliau turut menyarankan supaya lesen premis pihak berkuasa tempatan (PBT) juga diperketatkan. 

Ini susulan beberapa insiden kemalangan maut yang berlaku kebelakangan ini sehingga pernah meragut nyawa seorang petugas barisan hadapan pada awal Mei lalu.

Minggu lalu, seorang kakitangan Alam Flora maut dilanggar seorang lelaki yang memandu dalam keadaan mabuk dan berbahaya di Jalan Pintasan Kuantan.

Awal pagi tadi, seorang penghantar makanan dilaporkan maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta yang dipandu oleh lelaki dipercayai mabuk di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke ibu negara, Kuala Lumpur. 

Dalam insiden berasingan, seorang lelaki retak tempurung kepala kerana dilanggar pemandu mabuk di Jalan Raja Syed Raffi, Bintong, Kangar, Perlis malam tadi.

Mengulas lanjut, Aminuddin yang juga Pengerusi Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) berkata, pihaknya akan terus berkempen kepada rakyat berhubung isu ini, selain merancang mengadakan pertemuan dengan jemaah menteri. 

“Kita berharap rakyat akan terus menyokong kerana kita sudah lihat natijahnya sangat berbahaya,” katanya. – ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Setkan ‘See First’ fb page Indahnya Islam atau ikuti telegram Indahnya Islam agar anda sentiasa dapat mengikuti pelbagai bahan-bahan menarik berkaitan kesyumulan Islam.

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *