home Kalam Tokoh, Kolumnis, Semasa, Tokoh Segala amalan bermula dengan Niat dan Otak “Hippocampus”

Segala amalan bermula dengan Niat dan Otak “Hippocampus”

Segala amalan bermula dengan Niat

Ada satu bahagian kecil dalam otak manusia disebut ‘hippocampus’ yang memainkan peranan amat penting dalam pembentukan dan menyimpanan memori, dan juga memori berkaitan ruang/tempat (spatial memory) sehingga kadang-kadang digelar sebagai GPS otak. Begitu banyak kajian yang cuba mengorek rahsia bahagian kecil otak ini.

Saya juga telah menghabiskan hampir 4 tahun menelaah dan membuat kajian pada bahagian otak ini. Tak sempat kira berapa banyak hippocampus tikus makmal yang saya keluarkan untuk kajian dan masih lagi hari ini saya merasa takjub dengan kekuasaan Allah swt, kerana makin dikaji makin banyak soalan dan makin banyak yang saya tak tahu!

Satu perkara menarik yang ditemui saintis berkaitan hippocampus ini ialah ianya ibarat ‘pintu masuk’ memori. Sekiranya bahagian ini dibuang/rosak, maka haiwan dan manusia tak mampu untuk mencipta memori baru. Tapi tak semua memori juga! Nampak gaya hippocampus ini khusus untuk memori yang boleh dideklarasikan (declarative memory) seperti ingatan terhadap fakta dan kejadian atau siri peristiwa, bukan memori berkaitan kemahiran seperti memori mengayuh basikal atau bermain luncur ais.

Kajian terbaru tentang hippocampus yang saya nak kongsikan kali adalah berkaitan fenomena yang berlaku sebelum memori dicipta (encode), disimpan (consolidate) dan bertahan/boleh digali kembali (reconsolidate). Antara cara neurosaintis mengkaji sel otak ialah dengan melihat aktiviti sel otak atau disebut ‘firing pattern’. Sel otak sangat istimewa sebab boleh menghasilkan paten dengan pergerakan ion yang menyebabkan adanya aliran cas elektrik seperti dalam wayar di rumah kita.

Dalam kajian yang dibuat oleh Zhisen dan rakan-rakannya di University of California, San Diego, mereka mendapati ‘firing rates’ sel–sel hippocampus yang tinggi sebelum subjek diberikan tugasan melihat perkataan dan cuba mengingatinya. Dan subjek yang mempunyai fenomena ini dikatakan dapat menyelesaikan tugasan memori dengan lebih jayanya berbanding yang tiada/rendah ‘firing rates’.

Masih banyak persoalan yang perlu dijawab bagi memahami fenomena ini dan bagaimana ia boleh terhasil, namun antara teori bagi menjelaskan fenomena ini ialah ‘ready-to-encode’ mode terhasil sebelum subjek diminta untuk melakukan aktiviti memori. Dan mode ini dipercayai mungkin terhasil dengan penghayatan/kesedaran terhadap proses ‘encoding’ itu sendiri dan tidak sekadar memberi tumpuan/fokus kepada aktiviti memori tersebut.

Semua ini membawa saya kepada satu hadis yang kita selalu dengar iaitu ‘Innamal ‘amalu binniat….(hadis ni pjg lg)’ (setiap amal bermula dengan niat….). Saya sendiri tak pasti adakah ‘niat’ boleh disamakan dengan ‘ready-to-encode’ mode dalam otak kita. Namun yang pasti ada satu persamaan menarik di sini….niat dapat membezakan amalan kita, sebagaimana ‘ready-to-encode’ mode dapat membezakan samada seseorang mampu mencipta dan menyimpan memori baru atau tidak..bagi seorang muslim, apabila sesuatu perkara diniatkan untuk kebaikan dan ibadah, semuanya mendapat ganjaran pahala. Sebaliknya tidak mendapat apa2 sekiranya tidak dipasangkan niat yang baik/untuk ibadah. Begitu juga bila hippocampus dalam ‘ready-to-encode’ mode, subjek ujikaji dikatakan lebih berjaya dalam ujian memori/berjaya mencipta memori baru berbanding dengan hippocampus yang tidak ‘diset’ dengan mode ini sebelum aktiviti memori.

Seperkara lagi yang menarik tentang memori ialah ianya mampu diterjemah juga sebagai ‘perubahan kepada sikap’. Tanpa memori, manusia tak mampu berubah. Dan memori menjadikan manusia lebih baik dari sebelumnya, sekiranya ianya utuh (intact) dan diadun dengan banyak aspek kognitif yang positif. Perkaitannya dengan konsep niat semakin jelas di sisi saya, bila mana memori yang tercipta mampu mendatangkan perubahan sikap kepada seseorang manusia, sama seperti niat yang baik dapat memberikan impak positif pada pelaku.

Ini hanyalah satu lintasan fikiran yang saya simpulkan secara peribadi dalam usaha mengembalikan segala ilmu kepada Pencipta, kerana apa yang berlaku dalam otak manusia ternyata amat kompleks untuk dirungkai dengan satu mekanisma mudah. Yang pasti, perbaharuilah niat kita selalu kerana Allah swt, nescaya kita dapat membentuk banyak ‘memori’ indah dalam kehidupan.

Dr Madihah binti Rushaidi
Dekan Bioperubatan NUMed

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *