home Semasa Soalan sekitar puasa enam di bulan Syawal

Soalan sekitar puasa enam di bulan Syawal

1. Adakah puasa disunatkan pada bulan Syawal?

Ya, semua Muslim digalakkan untuk melaksanakan puasa sunat sebanyak 6 hari pada bulan Syawal, selepas melaksanakan puasa wajib satu bulan sepanjang Ramadan. Ia dianjurkan berdasarkan beberapa hadis sahih ;

Sabda Rasulullah SAW

من صام رمضان ثم أتبعه ستا من شوال كان كصيام الدهر

“Sesiapa yang berpuasa Ramadan, kemudian diiringinya dengan puasa (sunat) enam hari dalam bulan Syawal, itu adalah menyamai seperti berpuasa sepanjang tahun.” – Riwayat Muslim –

من صام رمضان وستًا من شوال فقد صام السنة

“Sesiapa yang berpuasa Ramadan, kemudian puasa (sunat) enam hari dalam bulan Syawal, maka dia (diibaratkan) telah berpuasa setahun.” – Riwayat Ibn Hibban –

 

2. Kenapa bilangannya ditentukan 6 hari ?

Secara asasnya kita berpuasa sunat 6 hari kerana ia diajar dan disebut oleh Rasulullah kepada kita. Ini adalah asas kepada segala amal ibadat kita iaitu mestilah mengikut Sunnah sebagaimana diajar oleh Rasulullah SAW. Rujukan cara ibadat kita adalah Al Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias.

Namun, sebahagian ulama mengatakan antara hikmahnya adalah berdasarkan hadis riwayat Nasaie dan Baihaqi ;

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ فَشَهْرٌ بِعَشَرَةِ أَشْهُرٍ وَصِيَامُ سِتَّةِ أَيَّامٍ بَعْدِ الْفِطْرِ فَذَلِكَ تَمَامُ صِيَامِ السَّنَةِ

“Sesiapa yang berpuasa Ramadan, maka 1 bulan itu bersamaan (gandaan pahala) 10 bulan, dan (ditambah) puasa 6 hari selepas aidilfitri, maka yang demikian menyempurnakan puasa 1 tahun .”

Berdasarkan hadis ini, bilangan 6 hari itu ibarat pelengkap kepada puasa sebulan Ramadan. Ini kerana Rasulullah ada juga menyebut “Siapa yang berbuat satu kebaikan, maka baginya gandaan sepuluh pahala”.

  • 1 Bulan Ramadan x10 = 10 bulan
  • 6 Hari Syawal x10 = 60 hari = 2 bulan
  • Jumlah = 12 bulan @ 1 Tahun

 

3. Adakah semua ulama menerima adanya Puasa Sunat 6 hari Syawal ?

Majoriti ulama Islam termasuk Imam Syafie mengatakan hukum Puasa 6 hari Syawal adalah SUNAT. Berdasarkan hadis-hadis sahih yang telah disebutkan.

Namun, ada juga ulama seperti Imam Malik menyatakan hukumnya adalah MAKRUH. Ini disebabkan mereka bimbang ia menjadi perkara yang ditambah-tambah kepada puasa Ramadan dan juga akan menyamai amalan Bani Israel yang suka melampau-lampau dalam beribadat.

Kesimpulannya ; Pandangan yang menyatakannya SUNAT adalah lebih kuat berdasarkan sumber hadis-hadis yang sahih dan ia juga adalah pandangan majoriti ulama Islam.

 

4. Bilakah ia afdhal dilaksanakan dan adakah mesti secara berturut-turut pada awal bulan Syawal ?

Terdapat banyak juga pandangan ulama dalam hal ini, ia terhasil dalam memahami maksud hadis “… KEMUDIAN DIIKUTI DENGAN 6 HARI SYAWAL…” ;

Sebahagiannya mengatakan ia afdhal dilaksanakan seawal 2 Syawal selama 6 hari secara berturut dan berterusan. Ada juga yang mengatakan sama sahaja, sama ada dilaksanakan pada awal bulan secara berterusan ataupun mana-mana 6 hari sepanjang bulan Syawal. Ada juga yang menyarankan ia dilaksanakan di pertengahan bulan bersama dengan hari-hari putih (13, 14 dan 15 Syawal), ini kerana hari-hari awal Syawal kebiasaannya masih lagi dalam suasana merayakan Aidilfitri.

Kesimpulan ; Terpulanglah kepada kita untuk memilih pandangan yang paling sesuai dengan keadaan dan suasana sekeliling kita. Berkemungkinan kita perlu juga meraikan suasana hari raya bersama ahli keluarga yang jauh untuk lebih merapatkan silaturahim dengan makan bersama mereka beberapa hari di awal Syawal. Maka dalam perkara-perkara sunat begini, Islam sentiasa bersifat anjal, sejahtera dan tidak memberatkan.

 

5. Selain daripada Puasa sunat 6 hari, adakah kita boleh berpuasa sunat lain di bulan Syawal ?

Kedudukan bulan Syawal adalah sebagaimana bulan-bulan yang lain juga. Kita boleh sahaja berpuasa pada mana-mana hari sepanjang Syawal. Namun yang terbaik adalah mengambil daripada ajaran Rasulullah SAW. Pernah baginda menasihati Abdullah bin Amru dalam amalan puasa sunat ;

Berpuasalah kamu pada mana-mana 3 hari sebulan – dan dalam riwayat lain disarankan kita untuk berpuasa pada 13, 14 dan 15 setiap bulan, ia disebut sebagai hari putih kerana bulan bercahaya terang dan cerah pada hari-hari tersebut.

Jika anda ingin lebih daripada itu, boleh juga berpuasa pada setiap hari Isnin dan Khamis setiap minggu

Dan jika anda mampu dan ingin lebih lagi, berpuasalah seperti puasa Nabi Daud – baginda berpuasa secara selang sehari iaitu sehari berpuasa dan sehari tidak berpuasa.

 

6. Sah atau tidak jika saya gabungkan niat puasa 6 Syawal dengan puasa-puasa sunat yang lain ?

InsyaAllah, kebanyakan ulama mengatakan sah jika kita gabungkan antara puasa enam Syawal bersama puasa sunat yang lain seperti puasa sunat hari putih dan juga puasa sunat hari Isnin dan Khamis. Sebagaimana kita boleh menggabungkan solat sunat tahiyyatul masjid bersama dengan solat sunat rawatib.

Bahkan sebahagiannya menyarankan agar melaksanakan puasa 6 syawal dilakukan pada pertengahan bulan dengan disekalikan dengan puasa sunat hari-hari putih.

 

7. Bolehkah saya menggabungkan niat Puasa Qadha/Ganti dengan Puasa Sunat Syawal ?

Perkara ini dibahaskan dengan panjang oleh para ulama, sebahagiannya berpandangan puasa sunat Syawal dan puasa qadha’ atau ganti Ramadan – kedua-duanya boleh diniatkan sekali dah tertunai kedua-duanya sekaligus.

Namun ramai dalam kalangan ulama berpandangan bahawa kedua-dua puasa ini mempunyai asas dan maksud yang berasingan dan tersendiri, maka ia TIDAK boleh digabungkan dan perlu dilaksanakan berasingan.

Kesimpulan ; Terpulang kepada anda untuk memilih untuk beramal dengan mana-mana pandangan di atas, namun padangan kedua dirasakan lebih kuat; iaitu TIDAK menggabungkan antara dua puasa tersebut. Pandangan ini dirasakan lebih selamat bahkan menjamin kesempurnaan untuk mendapat fadhilat Puasa Sepanjang Tahun.

 

8. Manakah yang perlu didahulukan, Puasa Qadha/Ganti yang wajib dilaksanakan ATAU Puasa Sunat Syawal ?

Sebahagian ulama berpandangan bahawa anda perlu mendahulukan Puasa Qadha’ (dan juga puasa-puasa yang wajib seperti puasa Nazar) berbanding Puasa Sunat Syawal. Ini kerana amalan Fardhu itu adalah lebih utama didahulukan berbanding amalan sunat. Bahkan hadis Nabi menyebut “Barang siapa yang BERPUASA RAMADAN kemudian diikuti dengan 6 hari Syawal…” – bererti anda perlu menyempurnakan 30 hari Ramadan termasuk puasa-puasa Qadha’ sebagai ganti puasa Ramadan yang ditinggalkan.

Namun padangan kedua sebahagian ulama dilihat lebih kuat – iaitu memberi kelonggaran untuk seseorang itu melaksanakan Puasa Sunat Syawal terlebih dahulu sebelum Puasa Qadha’. Ini kerana waktunya yang sangat terhad satu bulan sahaja berbanding puasa qadha’ yang merupakan wajib bertempoh satu tahun. Terdapat juga riwayat daripada Saidatina Aisyah RA yang mengatakan beliau melaksanakan puasa qadha’ pada bulan Syaaban (sebulan sebelum Ramadan).

Sebagai tambahan, sepakat ulama mengatakan kita dibenarkan untuk solat sunat walaupun, masih mempunyai solat-solat qadha’ wajib yang belum diganti.

Yang terbaiknya adalah – anda menyempurnakan puasa qadha’ dan dan kemudian puasa sunat Syawal sebelum berakhirnya hari-hari di bulan Syawal pada tahun ini.

 

9. Jika saya berpuasa kurang daripada 6 hari, adakah ia diterima ?

Yang paling afdhal ialah kita mencukupkan bilangan sebanyak 6 hari di bulan Syawal, itu adalah syarat untuk kita mendapat fadhilat puasa sepanjang tahun.

Namun, bagi mereka yang telah berusaha namun gagal melaksanakan dengan bilangan tersebut, jangan lah pula kecewa atau berhenti daripada beramal.

﴿ وَاصْبِرْ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يُضِيعُ أَجْرَ الْمُحْسِنِينَ ﴾

“Dan bersabarlah, sesungguhnya Allah tidak sekali-kali akan mensia-siakan pahala amalan orang yang berbuat kebaikan..” – Surah Hud –

Janganlah pula tertipu dengan was-was syaitan yang sentiasa akan mencari jalan untuk kita berhenti beramal dan bersangka buruk, bahawa amalan kita tidak akan diterima Allah. Sesuatu yang tidak mampu dilakukan keseluruhannya, jangalah pula ditinggalkan keseluruhannya.

 

10. Manakah yang lebih afdhal, saya berbuka meraikan tetamu ATAU meneruskan puasa sunat Syawal saya?

Terpulang kepada situasi anda sendiri, jika memang bilangan harinya masih cukup untuk anda laksanakan, tidaklah salah bahkan mungkin juga lebih afdhal untuk anda berbuka sebagai meraikan tetamu dan sahabat demi mengukuhkan silaturahim dan ukhuwwah. Namun jika anda yakin tetamu tersebut tidak langsung tersinggung atau merasa kekok jika anda meneruskan puasa, maka boleh teruskan puasa anda.

الصائم المتطوع أمير نفسه إن شاء صام وإن شاء أفطر

“Orang yang berpuasa sunat adalah pemilik kepada dirinya sendiri, terpulang kepadanya untuk meneruskan puasanya atau berbuka”

Hal ini betul-betul bergantung kepada siatuasi anda sendiri.

Selamat beramal, moga Allah menerima amalan kita semua.

Ustaz Mohd Zulkifli Bin Ibrahim
fb.me/uszul.ibrahim
www.indahnyaislam.my
text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *