home Semasa Mengapa Ambiga kecam Menteri Agama?

Mengapa Ambiga kecam Menteri Agama?

1. MALAYSIAKINI melaporkan bagaimana Ambiga Sreenavasan mengecam tindakan Menteri Agama Dr Zulkifli al-Bakri, yang memberi kebenaran kepada Jabatan Agama Islam Wilayah untuk menangani isu transgender.

2. Malah apa yang lebih menyedihkan, Malaysiakini turut merekodkan kenyataan Ambiga yang agak mengelirukan iaitu beliau dipetik menyebut: “Menteri mengabsahkan gangguan, diskriminasi dan kekerasan terhadap komuniti transgender.” Kenyataan ini seolah menggambarkan Menteri Agama memberi kebenaran untuk JAWI melakukan gangguan kezaliman terhadap golongan transgender. Sedangkan Menteri barangkali tidak bermaksud sedemikian.

3. Perhatikan bagaimana pemikiran liberal mengubah naratif mencegah kemungkaran dengan menjadikannya seakan sesuatu perkara yang salah dan zalim. Sedangkan dalam Islam, mencegah kemungkaran adalah satu perkara yang amat dituntut.

4. Perhatikan juga bagaimana golongan liberal melihat kemungkaran dengan neraca yang berbeza. Pada liberal, hak peribadi lebih utama dari hak yang telah ditentukan oleh Allah. Mereka mempertahankan hak peribadi seorang transgender untuk kekal dalam kecelaruan diri mereka sedangkan Rasulullah membimbing kita dengan panduan yang jelas.

5. Dalam Islam, Rasulullah melarang seorang lelaki dari berperwatakan seperti wanita sedangkan golongan liberal memperjuangkan hak kebebasan individu untuk berpakaian seperti yang mereka kehendaki. Ini jelas bercanggah dengan hadis apabila Rasulullah melarang lelaki berpenampilan seperti wanita. Sabda Rasulullah:

لَعَنَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمُتَرَجِّلاتِ مِنَ النِّسَاءِ، وَالْمُخَنَّثِينَ مِنَ الرِّجَالَ

“Rasulullah melaknat wanita yang berperwatakan seperti lelaki dan lelaki yang berperwatakan seperti wanita.” (HR Ahmad, dinilai Sahih oleh al-Arna’ut)

6. Dalam al-Quran, Allah memuji orang-orang beriman yang mencegah kemungkaran. Bahkan Allah menyifatkan mereka sebagai umat yang terbaik sekiranya mereka mencegah kemungkaran. Firman Allah:

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ

“Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji).” (Surah Ali Imran: 110)

7. Inilah bahana kecelaruan pemikiran liberal yang diperjuangkan oleh sebahagian kita dalam masyarakat. Malah ada pula yang terperdaya dengan slogan perjuangan hak asasi kemanusiaan seperti ini. Lebih menyedihkan ada juga dikalangan Muslim yang berfikiran dengan pemikiran liberal yang rosak sebegini.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Penasihat Syariah Indahnya Islam

 

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

 

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *