home Semasa Mualaf gembira bantu lebih 50 orang peluk Islam

Mualaf gembira bantu lebih 50 orang peluk Islam

 

ALHAMDULILLAH saya gembira memeluk Islam, walaupun terkilan ibu tidak sempat memeluk Islam sebelum meninggal dunia,” kata Borhan Benjamin Abdullah atau nama asalnya, Benjamain a/l Anthony.

Borhan, 62, mahu berkongsi cerita pengalamannya sebelum, semasa dan selepas mengucap syahadah sebagai pengajaran kepada diri sendiri dan insan lain.

Menurutnya, perceraian ibu bapanya menyebabkan dia dihantar ke Rumah Kanak- Kanak Tengku Budriah, Cheras ketika berusia dua tahun dan berpindah ke rumah Budak Laki-Laki Tun Abd Aziz Durian Daun, Melaka ketika berusia 12 tahun.

Dia kemudiannya memeluk Islam selepas berusia 19 tahun, namun tindakan memeluk islam ditentang hebat ibunya yang berpegang kuat kepada ajaran Kristian.

Apapun, dia sempat bertemu ibunya di Rumah Pemulihan Orang Tua Mersing, Johor untuk memberitahu pengislamannya, namun amat memilukan sebaik pulang ke Melaka, dia menerima berita ibunya meninggal dunia beberapa jam selepas perjumpaan terbabit.

“Saya pulang semula ke Mersing untuk menyaksikan pengebumiannya. Apakah daya hajat untuk melihat dia memeluk Islam tidak kesampaian.

“Sudah pasti saya amat bersedih dan berduka namun nasihat dan panduan kukuh diberikan keluarga angkat iaitu Tan Sri Rahim Thamby Chik dan isteri Puan Seri Zabedah Abdullah membolehkan kekuatan sentiasa berada di sisi saya sehingga kini,” katanya yang juga pernah mempunyai keluarga angkat iaitu Datuk Dr Carleel Osman Marican.

Dia bertuah urusan perkahwinan dengan isteri tercinta, Senimah Ismail, 57, diuruskan Zabedah dengan kini dikurniakan seorang anak lelaki berusia 20 tahun.

Menurutnya, selain dirinya, dua adik beradiknya turut memeluk Islam manakala dua yang lain kekal dengan agama asal.

Borhan yang kini kurang sihat akibat komplikasi prostat dan jantung pernah berkerja dengan banyak syarikat termasuk agensi swasta dengan pelbagai jawatan.

Walaupun pernah diugut dibuang kerja untuk dia meninggalkan Islam, namun Borhan tidak pernah bimbang dengan isu berkenaan sehingga dia diterima bekerja sebagai pembantu Hal Agama Islam lebih 35 tahun bersama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sebelum bersara dua tahun lalu.

“Sepanjang berkhidmat, saya puas dapat membantu lebih 50 bukan Islam memeluk Islam walaupun pernah diancam dicederakan dan dimaki hamun pelbagai pihak.

“Rentetan perjalanan hidup termasuk tidak pernah bertemu bapa kandung, berpisah adik beradik dan diancam serta dicerca adalah hikmah tersembunyi untuk saya memeluk Islam.

“Walaupun kini agak uzur, saya bersyukur dengan nikmat Islam seperti mengerjakan haji pada 2000 dan menunaikan umrah pada 1984,1986 dan 1994,” katanya yang tinggal di Taman Pulai Indah, Melaka. – MyMetro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *