home Semasa Bagaimana kita mahu mempastikan diri dalam keadaan bermunajat ?

Bagaimana kita mahu mempastikan diri dalam keadaan bermunajat ?

 

SELAGIMANA jiwa kita menghadap-Nya, selagi itu kita dalam munajat

Ada persoalan yang dilontarkan kepada saya baru-baru ini, iaitu bagaimana kita mahu mempastikan diri dalam keadaan bermunajat ?

Saya cuba jawap dengan izin Allah.

1. Hidup dalam munajat adalah hidup yang paling bermakna, dan kehidupan itu ditonjolkan dalam Al-Quran dalam siri-siri kisah para Anbiya’ dan orang-orang soleh yang digambarkan dalam Al-Quran.

“Mereka itulah orang-orang yang diberikan hidayah oleh Allah, maka dengan panduan mereka ambillah contoh” – Surah Al-An’am, ayat 90

2. Saiz munajat perlu difahami dalam skala yang lebih besar.

Ambillah contoh kefahaman daripada Surah Al-Mukminun, ayat 1-9 yang dimulakan dengan ciri mereka adalah orang yang khusyuk dalam solat, dan diakhiri dengan mereka itu menjaga solat. Di antara kedua-dua permulaan dan penghujung itu ada ciri-ciri melaksanakan zakat, menjauhi perkara sia-sia, menjaga kehormatan, dan menjaga amanah dan janji.

Dalam Surah Al-Maarij, ayat 22-34 juga perihalnya sama. Dimulakan sifat-sifat orang yang solat itu dengan orang yang sentiasa solat (daimun). Diakhiri ciri-cirinya dengan orang yang menjaga solat. Di antara kedua-dua permulaan dan penghujung itu ada ciri-ciri bersedekah, menjaga kehormatan, amanah dan janji.

Demikianlah difahami bahawa di antara dua ciri-ciri itu adalah sebuah kehidupan, yang sedang menterjemahkan makna dan intipati solat.

Dalam Surah Al-Hajj, ayat 77-78 juga kita dapati ia satu ‘pattern’ yang sama. Dimulakan dengan arahan untuk rukuk, sujud dan melakukan kebaikan. Kemudian saranan untuk berjuang menegakkan agama Allah SWT, lalu diakhiri pula dengan mendirikan solat dan menunaikan zakat serta berpegang dengan Allah SWT.

Seolah-olah Allah SWT sedang mengajar hamba-Nya bahawa solat itu, sepertimana ia adalah ibadah yang khusus dan lengkap dengan syarat dan rukunnya, ia juga adalah sebuah gaya hidup yang diterjemahkan dalam ciri-ciri yang disebutkan tadi dalam surah Al-Mukminun dan Al-Maarij, dan melaksanakan tuntutan-tuntutan yang disebutkan dalam surah Al-Hajj.

3. Perjuangan para anbiya’ adalah tasbih mereka.

Nabi Musa AS menterjemahkan kefahaman ini dalam kerangka yang luas dan besar. Dalam surah Taha, ayat 25-35 apabila Allah SWT memerintahkan Nabi Musa AS untuk pergi melawan Firaun, baginda AS berdoa dengan doa yang masyhur ;

“Wahai Tuhanku, lapangkan dadaku, mudahkan urusanku, hilangkan kepelatan dalam lidahku, agar mereka memahami kata-kataku. Jadikanlah bagiku penolong daripada kalangan keluargaku, iaitu Harun yang merupakan saudara kandungku. Kuatkanlah dengannya kedudukanku, dan libatkanlah ia dalam urusanku (risalah ini)”

Inilah permintaannya. Sekarang mari kita teliti apakah pula yang bermain dalam pemikirannya :

“Agar kami sentiasa bertasbih kepadamu, dan sentiasa berzikir mengingatimu, sesungguhnya Engkau sentiasa melihat keadaan kami” – Surah Taha,

4. Tasbih adalah nafas alam ini. Setiap pergerakan dan posisi seluruh alam ini hakikatnya sedang bertasbih dan bermunajat kepada Tuhan.

“Tidakkah engkau melihat bahawa sesungguhnya segala yang ada di langit dan bumi ini sedang bertasbih kepada Allah serta burung-burung, dalam keadaan berbaris-baris. Setiap daripada mereka itu telah pun mengetahui ‘solatnya’ dan tasbihnya yang tersendiri” – Surah An-Nur, ayat 41

“Dan tidaklah semua perkara itu melainkan sedang bertasbih memuji-Nya tetapi kamu tidak memahaminya” – Surah Al-Israa’, ayat 44

Apabila manusia bertasbih memuji Tuhannya (secara sedar dan pilihan) maka itu akan melorongkan mereka untuk turut serta dengan aturan alam sejagat ini. Ia akan membawa kepada ketenangan, kejernihan pandangan, kebahagiaan, dan kesenangan hidup.

Namun tasbih manusia juga perlu difahami dalam kerangka yang betul. Sepertimana tasbih matahari dan bulan adalah pada putarannya, tasbih burung dan tumbuhan pada fungsinya, demikian juga tasbih makhluk yang bernama manusia.

Ustaz Syamil Esa

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *