home Semasa Jika Allah sayang, kenapa Allah izinkan derita ?

Jika Allah sayang, kenapa Allah izinkan derita ?

 

SOALAN yang timbul pada satu sesi dengan salah seorang ahli keluarga baru-baru ini. Benar, ini soalan yang mungkin biasa difikirkan oleh mana-mana dari kalangan kita yang mengalami kesulitan, kesukaran dalam hidup dan cabaran yang mendatang.

Jawapan yang biasa kita dengar adalah ‘sabarlah, pasti ada hikmahnya’. Jawapan ini boleh jadi tidak mampu mengubati duka yang menimpa dan dia mungkin boleh dibalas kembali dengan pelbagai bentuk balasan.

Dengan izin Allah saya cuba menjawabnya :

1. Sayangnya Tuhan bukan macam (secara kaifiyatnya) sayangnya kita. Manusia akan menyayangi sekadar pengetahuannya, dan sayangnya Tuhan bersesuaian dengan ilmu-Nya. Jika nak diibaratkan, seorang ayah yang menyayangi anaknya akan menghalangnya daripada bermain di tengah jalan kerana dikhuatiri kemalangan yang menimpa.

Namun pada pandangan anaknya ayahnya itu adalah seorang yang mengongkong dan tidak memahami perasaannya. Itulah beza kefahaman seorang budak yang sedikit ilmunya dengan seorang ayah yang lebih memahami situasi dan keadaan.

Apatah lagi beza kefahaman kita dengan ilmu Tuhan sekalian alam.

2. Jangan mengkotakkan ilmu, kudrat dan iradat (kemahuan) Allah SWT dengan kotak pemikiran kita sebagai manusia. Tuhan melangkaui segala kerangka yang kita bina dan peraturan yang kita tetapkan untuk diri kita sendiri. Hari ini kita belajar, esok kita akan rasa bahawa hari ini kita masih jahil. Demikianlah juga pada masa depan kita merasakan bahawa kita pada masa lalu juga adalah jahil.

Ilmu Tuhan itu azali, tidak berubah, tidak berkurang dan tidak pula bertambah. Dia wujud seadanya, seperti sebelum ini dan selepas ini.

Kemahuan Tuhan tidak terbatas dan melangkaui segala kemahuan dan undang-undang yang ada. Mahunya Dia kerana sesuatu hikmah, dan hikmah-Nya melangkaui segala ilmu yang ada pada makhluk-Nya.

3. Walaupun demikian, Tuhan menyatakan beberapa sifat-Nya yang cukup untuk menjadikan kita tenang, aman dan tenteram. Tuhan menyatakan bahawa Dia Maha Adil, Dia Maha Penyayang, Dia Maha Lembut (Latiif). Keseluruhan sifat dan nama-Nya menggambarkan zat-Nya yang Maha Agung.

Dengan itu, manusia yang beriman akan merasakan bahawa dia sedang dijaga Tuhan kerana Tuhan menyebutkan bahawa Dia yang menjaga orang-orang beriman dan mengeluarkan mereka daripada kegelapan kepada cahaya.

Maka segala yang berlaku semuanya dilihat dalam kerangka ‘Tuhan yang menyayangi dan menjaga hamba-Nya’, walaupun secara mata kasar yang berlaku adalah seolah-olah sebaliknya, seperti dihumban ke dalam perigi buta dan dipenjara secara zalim (Nabi Yusuf AS), atau ditipu oleh anak sendiri (Nabi Yaakub AS), atau terbunuh (Nabi Zakariya AS dan para nabi yang lain), atau dihalau, dicaci, dihina dan diperangi (Nabi Muhammad SAW).

Semua perkara itu walau dilihat seperti sebuah kesengsaraan dan penderitaan, hakikatnya ia adalah satu bentuk rahmat daripada Tuhan.

Ini kerana semua anbiya’ AS adalah kekasih Allah SWT, dan Allah tidak akan mensia-siakan dan mengazab kekasih-kekasih-Nya.

Mereka tidak ‘menghukum’ tadbir dan aturan Allah SWT ke atas mereka sebagai ‘kejam’, atau ‘tidak adil’, atau ‘sampainya hati Tuhan buat aku begini’ dan seumpamanya.

Bahkan mereka bertindak sebaliknya, terus menerus memuji Tuhan dan mengharapkan belas ihsan dan rahmat-Nya pada setiap masa, serta sentiasa menuduh diri mereka sebagai seorang yang bersalah dan pasrah di dalam munajat mereka.

4. Kesabaran memerlukan kefahaman. Seseorang Nabi AS boleh bersabar kerana mereka mempunyai satu ‘fiqh’ yang jelas. Mereka memahami bahawa itu semua adalah perjalanan yang PERLU dilalui kerana mereka memahami bahawa Allah SWT tidak akan melakukan sesuatu perkara dengan sia-sia.

Untuk bersabar seseorang itu perlukan ‘fiqh’ atau kefahaman terhadap hakikat Tuhan, manusia, kehidupan, dan alam ini.

Ustaz Syamil Esa

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *