home Semasa Suara tak didengar, NGO Islam tuntut tubuh majlis gabungan

Suara tak didengar, NGO Islam tuntut tubuh majlis gabungan

 

KUALA LUMPUR – Bagi menyatupadukan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, PEMBELA menuntut kerajaan menubuhkan Majlis Gabungan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (MGPBIK) bagi mengelolai semua NGO Islam seluruh Malaysia di bawah satu naungan.

“Hari ini kita tiada ayah. Kita bersuara dekat luar orang tak pandang. 

“Jadi, kita harap gabungan ini akan dapat didengari oleh pihak kerajaan,” luah Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya ketika menyatakan tuntutan itu.

Serentak dengan tuntutan itu, beliau berkata, peruntukan dana untuk majlis itu sebanyak RM100 juta setahun juga diperlukan bagi menggerakkan usaha-usaha membantu kerajaan memperkasakan syiar Islam.

“NGO-NGO Islam juga mesti diberi ruang dalam media-media utama bagi menyampaikan kebenaran melalui penerangan dan penjelasan atas kekeliruan yang telah berlaku termasuk kecelaruan pemikiran pasca modenisme,” katanya dalam sidang media khas Tuntutan-tuntutan NGO Islam kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diadakan di Hotel Putra, di sini, hari ini.

Beliau berkata, alim ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) juga perlu diberikan kedudukan dalam pentadbiran negara sebagai satu badan untuk memainkan peranan semak dan imbang terhadap polisi-polisi kerajaan.

“Ia supaya polisi-polisi berkenaan menepati syara’ dan tidak diserapi oleh kefahaman liberalisme mahupun pluralisme hingga melanggar ajaran-ajaran Islam,” katanya.

Di samping itu, Haji Aminuddin juga mencadangkan supaya kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin menubuhkan Suruhanjaya Kedaulatan Agama Negara (SKAN) agar hal ehwal Islam tidak diganggu gugat dan tidak ditentukan oleh orang bukan Islam.

Bukan itu sahaja, PEMBELA turut berpandangan bahawa peranan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan Jawatankuasa Mempromosi Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA) perlu dikaji semula.

“Kerajaan harus memastikan keanggotaan di dalam kedua-dua komiti, jabatan dan jawatankuasa ini, majoritinya adalah orang Islam dan wakil dari ulama,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, usaha mewujudkan Akta Harmoni Nasional juga perlu dihentikan kerana ia bercanggah dengan prinsip Islam.- Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *