home Semasa Aspek kebersihan prasyarat penerimaan amal ibadah

Aspek kebersihan prasyarat penerimaan amal ibadah

 

RAMAI mungkin tidak menyedari tanggal 19 November setiap tahun, Hari Tandas Sedunia disambut di hampir 60 negara termasuk Malaysia. Sambutan bermula sejak 2001 itu, turut disokong Pertubuhan Tandas Sedunia (WTO), sekali gus titik permulaan kepada kesedaran masyarakat dunia dalam penjagaan kebersihan dalam kehidupan.

Hakikatnya, aspek kebersihan sangat dititikberatkan dalam Islam hingga dibincang dan dibahaskan ulama dan cendekiawan Muslim dalam kitab hadis dan fiqh yang disebut Kitab al-Toharah atau Bab al-Toharah. Belek sahaja kitab seperti Kitab Al-Fiqh Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam as-Syafi’ie karangan Dr Mustafa al-Khin dan Kitab Bulughul Maram oleh al-Syeikh Muhammad Idris al-Marbawi al-Azhari.

Toharah dalam perbahasan fiqh berkaitan dengan kebersihan. Dari segi bahasa, ia bermaksud suci atau bersih, manakala dari segi syarak pula ditakrifkan sebagai ‘suci dan bersih daripada najis dan hadas.’

Ia perkara utama atau asas dalam permulaan kehidupan Muslim kerana menjadi prasyarat penerimaan amal ibadah. Sebagai contoh dalam ibadah solat yang difardukan kepada setiap orang Islam, aspek toharah atau bersuci menjadi sebagai syarat wajib atau sah ibadah solat berkenaan.

Abu Hurairah RA meriwayatkan beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Andai kata di hadapan pintu seseorang di antara kamu ada sebuah sungai dan dia mandi di situ sebanyak lima kali dalam sehari, apakah masih ada kekotoran tertinggal di badannya?” Sahabat menjawab: “Tidak ada kekotoran sedikitpun tertinggal di badannya.”

Baginda bersabda: “Demikianlah bandingan solat lima waktu, dengan mengerjakan semua itu Allah akan menghapuskan semua dosanya dan kesalahan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis itu jelas menunjukkan aspek kebersihan menjadi keutamaan dalam Islam lebih-lebih lagi dalam urusan ibadah.

Amalan kebersihan dalam ibadah ini, sepatutnya diterjemahkan dalam konteks lebih besar, iaitu kehidupan seharian. Malah, Islam meletakkan kebersihan itu sebahagian daripada iman. Nabi SAW bersabda: Bersuci itu adalah antara ciri keimanan. (HR Muslim)

Penjagaan dan kebersihan tandas sempena Hari Tandas Sedunia ini juga sebenarnya termasuk dalam penjagaan kebersihan seperti dianjurkan Islam. Walaupun kedengaran seperti kecil dan remeh, hakikatnya ‘tandas yang kotor dan tercemar’ akan memberikan kesan emosi negatif kepada sesiapa sahaja, kerana pastinya kita tidak dapat mengelak daripada menggunakan tandas pada setiap hari.

Menurut Dr Mustafa al-Khin dalam kitabnya Fiqh al-Mahaji ada beberapa hikmah berhubung dengan pensyariatan bersuci atau menjaga kebersihan dalam Islam, antaranya bersuci ialah tuntutan fitrah selari Islam itu sendiri sebagai agama fitrah. Secara tabii, semua orang inginkan kepada kebersihan dan tidak suka serta menjauhkan diri daripada kekotoran.

Dengan bersuci dan menjaga kebersihan juga, seseorang itu secara tidak langsung sudah memelihara kemuliaan dan kehebatan dirinya sebagai Muslim. Hakikatnya, kita lebih selesa dan suka kepada orang bersih serta seboleh mungkin akan menjauhkan diri daripada individu pengotor. Maka dengan menjaga kebersihan, secara tidak langsung kita akan disegani, dimuliakan dan disukai orang lain.

Di samping itu, dengan menjaga kebersihan juga akan dapat memelihara kesihatan diri kerana kebiasaannya kebanyakan penyakit menular disebabkan kekotoran. Sebagai Muslim, dengan berwuduk sekurang-kurangnya lima kali setiap hari, menjadikan anggota badan kita sentiasa berada dalam keadaan bersih dan pastinya akan terpelihara serta terhindar daripada sebarang penyakit.

Perkara lebih besar dan utama dalam penjagaan kebersihan ini adalah untuk kita berdiri menghadap Allah SWT untuk beribadah. Sudah tentu seperti disebut, mestilah dalam keadaan suci dan bersih. Allah SWT amat kasihkan hamba-Nya yang suka membersihkan zahir dan batinnya dengan bersuci dan bertaubat.

Ia sesuai dengan firman Allah SWT: “Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang yang sentiasa menyucikan dirinya.” (Al-Baqarah: 222) -Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *