home Semasa Benarkan umrah hanya selepas dapat nasihat MKN, KKM – Zulkifli

Benarkan umrah hanya selepas dapat nasihat MKN, KKM – Zulkifli

 

PUTRAJAYA: Keputusan sama ada rakyat Malaysia akan dibenarkan menunaikan umrah atau tidak hanya akan dibuat selepas kerajaan mendapatkan nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (KKM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, keputusan itu juga bergantung kepada respons daripada Arab Saudi.

Jelasnya, pihaknya akan terus bekerjasama erat dengan MKN dan KKM bagi membincangkan perkara berkenaan.
“Kita akan masukkan perkara ini dalam perbincangan bersama MKN. Kalau dibenarkan, kita akan lihat bagaimana MKN buat prosedur operasi standard (SOP) dulu dan bagaimana saranan KKM.

“Sebab, kita tak mahu akan berlaku kluster umrah pula. Bila kluster umrah ini, macam-macam pula timbul nanti,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Penipuan Umrah bersama Pengelola Umrah di Kompleks Islam Putrajaya di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas keputusan Arab Saudi yang secara berperingkat membenarkan kembali jemaah menunaikan umrah bermula 4 Oktober ini selepas tujuh bulan ditangguhkan akibat penularan COVID-19.

Kementerian Dalam Negeri negara itu, dipetik berkata dalam satu kenyataan, kira-kira 6,000 warga Saudi dan penduduknya dibenarkan menunaikan umrah setiap hari bermula tarikh berkenaan sebagai permulaan.

Jemaah dari luar pula akan dibenarkan menunaikan ibadat berkenaan bermula 1 November dengan kapasiti hingga 20,000 orang setiap hari.

Mengulas lanjut kenyataan itu, Zulkifli berkata, beliau akan cuba mendapatkan maklumat rasmi berhubung perkara itu selepas ini.

“Maklumat tersebut biasanya amat bergantung kepada kes COVID-19 yang berlaku sekarang.
“Mengikut senario tahun lepas (1441H), pada musim sejuk, kes juga meningkat dengan tinggi. Dan kita boleh lihat di tempat kita, dan di Arab Saudi, khususnya di Mekah dan Madinah (turut berlaku peningkatan kes).
“Laporan tersebut akan mempengaruhi keputusan yang dibuat,” tambahnya. – Astro Awani

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *