home Semasa Empat negeri contohi subjek Kesultanan Islam Johor

Empat negeri contohi subjek Kesultanan Islam Johor

 

PASIR GUDANG: Subjek Kesultanan Islam Johor yang diperkenalkan di 578 sekolah agama di negeri ini akan menjadi model kepada empat negeri dalam usaha memupuk jati diri generasi muda dan memperkenalkan institusi diraja kepada mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi, berkata sehingga kini, empat negeri itu dijangka menggunakan modul berkenaan untuk dimasukkan dalam silibus pendidikan sekolah masing-masing.

“Subjek itu sudah bermula bulan ini di semua sekolah agama Kerajaan Negeri Johor bagi Tahun Satu hingga Tiga yang memiliki tahap tertentu. Kita memperkenalkannya sehingga Darjah Khas.

“Generasi muda sekarang dilihat kurang memahami sejarah negeri khasnya Sejarah Kesultanan Johor. Ia turut merangkumi gambar dalam buku itu hingga anak-anak akan mengenali sejarah Johor, bilakah sekolah agama dibuka dan bilakah Sultan Johor ditabalkan.

“Kementerian Pendidikan pun ada meminta daripada kita untuk menjadikan contoh bagi dikembangkan ke beberapa negeri. Saya difahamkan sudah ada empat negeri berminat kurikulum Kesultanan Islam Johor ini.

“Namun, saya tidak boleh maklum negeri mana sebab ia belum diputuskan dalam mesyuarat akhir Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ),” katanya ketika ditemui selepas Majlis Keberangkatan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim ke Sekolah Agama Taman Kota Masai di sini, hari ini.

Terdahulu, Tunku Ismail bersama isteri, Che Puan Khaleeda Bustamam dan tiga anakanda berkenan melawat sekolah itu bagi meninjau proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah agama negeri.

Dalam perkembangan lain, Tosrin berkata, sehingga kini, pihaknya tidak menerima laporan berhubung ajaran Abdul Kahar Ahmad yang difatwakan sesat di negeri ini.

“Di Johor tiada laporan Rasul Melayu tetapi saya sudah minta bahagian penguatkuasaan supaya memantau perkara ini. Namun setakat ini, kita tidak menerima laporan mengenai wujudnya pengikut Rasul Melayu di Johor,” katanya.

Media melaporkan kumpulan ‘Rasul Melayu’ yang difatwakan sesat pada 1991 dilaporkan kembali aktif menyebarkan ajaran di Selangor susulan penahanan Abdul Kahar bersama 16 pengikutnya oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di tiga lokasi berbeza di Shah Alam. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *