home Semasa Henti tindas, zalimi etnik Uighur

Henti tindas, zalimi etnik Uighur

 

ROHINGYA dianggap pelarian dari Myanmar paling malang. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sendiri bersetuju dengan hakikat ini. Tidak hairanlah, Muslim Rohingya sejak turun-temurun masih tidak mendapat status warganegara di Myanmar.

Setakat ini, lebih sejuta pelarian Rohingya dengan 80 peratus wanita dan kanak-kanak masih tinggal di Cox’s Bazaar di Bangladesh. Namun, kerajaan Bangladesh juga ingin menghalau mereka ke Myanmar terutama wilayah Rakhine.

Pada masa sama, populasi Uyghur Muslim yang mencecah 10 juta orang turut ditindas dan lebih sejuta merengkok di kem tahanan.

Alasan diberikan Beijing atau Parti Komunis di Urumqi, mereka tidak ditahan tetapi menjalani pendidikan semula. Program latihan ini kononnya sangat penting untuk membendung masalah terorisme yang semakin berleluasa pada peringkat global.

Beijing turut mengukuhkan hal itu dengan perspektif propagandanya. Lebih parah saiz kem tahanan ini semakin membesar dalam usaha untuk mengubah ideologi penganut Islam kepada komunisme.

Uyghur Muslim dikatakan dipaksa meninggalkan solat dan semua ajaran Islam lain. Mereka turut diarah menghafal manifesto pemikiran Presiden Xi Jin Ping yang termaktub dalam Perlembagaan China.

Sesiapa mengingkari arahan itu, akan dikecam pihak komunis dan dijatuhkan hukuman berat. Semua Uyghur Muslim dalam penjara, terpaksa tunduk kepada kepimpinan kuku besi ini untuk menyelamatkan diri mereka.

Bagi mereka yang tidak dipenjarakan tetapi masih mengikuti dan mengamalkan cara hidup Islam, akan disiksa secara emosi melalui pemisahan sesama ahli keluarga seperti antara ibu bapa dengan anak berserta cucu sekali.

Telefon bimbit mereka juga akan diambil pihak berkuasa Xinjiang, manakala talian telefon dipintas 24 jam sehari tanpa berhenti.

Lebih malang, wanita Uyghur subur dan memiliki paras lupa elok disuruh pihak penahan untuk menelan pil yang bakal menggugurkan kandungan atau memberhentikan kitaran haid mereka. Hal ini dibongkar sarjana Jerman, Dr Adrian Zenz berserta organisasi kemanusiaan seperti Majlis Hak Asasi Manusia (HRC).

Dokumen mengenai prosedur mengerikan ini dibongkar dan tersebar luas di seluruh dunia. New York Times (NYT), antara akhbar terkenal di dunia dan media massa di dunia Arab serta Jepun, turut melaporkan kejadian terbabit.

Sementara itu, Perdana Menteri Jepun, Abe Shinzo, menasihatkan China memberhentikan seksaan tidak berperikemanusiaan yang bertujuan melumpuhkan generasi Uyghur Muslim pada masa akan datang.

Tindakan pihak komunis di China boleh digelar sebagai pemusnahan budaya serta benih Uygur Muslim yang tidak pernah disaksikan sejak kekalahan Nazi pada Perang Dunia Kedua pada 1945 dan serangan terhadap etnik Bosnia Muslim pada akhir 1995.

Seluruh dunia, bukan sahaja umat Islam, mula bangkit untuk menegur pucuk pimpinan China terhadap polisi ini di Xinjiang. Malah, Konvensyen Geneva yang turut ditandatangani China, mengharamkan polisi sebegini. Malaysia selaku ahli Konvensyen Geneva harus menegakkan prinsip undang-undang antarabangsa utuh ini dengan menentang sekeras-kerasnya kezaliman terhadap Uyghur Muslim di China. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

 

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *