home Semasa Pertahan ‘pasak negara’ dibina generasi terdahulu

Pertahan ‘pasak negara’ dibina generasi terdahulu

 

INSYA-ALLAH kita akan mengulangi tarikh bertuah pembentukan Malaysia sejak 1963 lalu. Bagi lebih 10,000 pelajar Malaysia di Mesir yang belajar dalam bidang Pengajian Islam, Perubatan serta Pergigian di Universiti al-Azhar yang tersohor dan lainnya, tentu sambutan Hari Malaysia Ke-57 dan 50 tahun Rukun Negara membawa erti amat ketara.

Sebahagian mereka tamat pengajian dan bakal pulang ke tanah air untuk menyambung khidmat kepada ummah yang menadah tangan menanti dengan hati terbuka.

Penubuhan Malaysia adalah berkonsepkan Raja Berperlembagaan mengambil kaedah demokrasi moden berasaskan sistem Westminter Inggeris.

Perlembagaan Persekutuan 1957 adalah bersumberkan Perlembagaan Persekutuan 1948 dan Perjanjian Persekutuan 1896. Fakta ini disepakati ahli perundangan serta sejarawan.

Sebelum muncul negara bangsa ‘Persekutuan Tanah Melayu’ pada 31 Ogos 1957, lebih 700 tahun sebelumnya sudah wujud tamadun unggul Kerajaan Melayu Lama yang juga mempunyai undang-undang tubuh sendiri yang kini kita istilahkan sebagai Perlembagaan.

Undang-Undang Islam dan Adat-Istiadat Melayu itu pernah terpakai di negeri Melayu yang berdaulatkan Raja-Raja Melayu beragama Islam dan berbudaya Melayu. Ia termaktub dalam Hukum Kanun Melaka, Undang-Undang 99 Perak dan sebagainya.

Mengikut catatan historiografi masyhur negara, susur galur sejarah kita bermula dengan adat istiadat Melayu bersumberkan sebuah waadat di antara Sang Sapurba (mewakili golongan diraja) dan Demang Lebar Daun (mewakili rakyat jelata).

Daripadanya bermula undang-undang watan atau lexi loci yang menjadi teras sejarah perundangan negara sebelum kehadiran Common Law (undang-undang statut) Inggeris.

Lalu, ia dikekalkan dalam Perlembagaan Merdeka 1957 atas syor Suruhanjaya Reid selepas diperkenankan Raja-Raja Melayu seperti termaktub dalam Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu pada 25 Ogos 1957.

Oleh itu, apabila ada suara mengatakan ‘tidak perlu melestarikan agenda Islam dalam Perlembagaan dan undang-undang negara, biarkan ia menjadi undang-undang sekular’ mereka sebenarnya gagal memahami susur galur dan leluhur sejarah tulen tanah air bahawa elemen Islam sudah pun memainkan peranan utama dalam sejarah perundangan negara sehingga berjaya membina tamadun gagah, iaitu Kerajaan Melayu-Islam Lama.

Demikian tersusun indah lagi tertib adat istiadat sistem Raja Berperlembagaan Malaysia yang berasaskan penggiliran sembilan Raja Melayu sehingga tercapai kemerdekaan negara menerusi tiga elemen pengikat utamanya, iaitu (i) bangsa Melayu dan peribuminya; (ii) kedaulatan Raja-Raja Melayu dan (iii) Agama Islam.

Malaysia amat unik sebagai negara bangsa merdeka lagi berdaulat pasca Perang Dunia Kedua yang menginstitusikan Yang di-Pertuan Agong selaku ketua negara dan Perdana Menteri yang terlantik pada pilihan raya umum sebagai ketua kerajaan.

Kebijaksanaan lokal itu berjaya meleraikan kemelut politik negara paling cemas pada penghujung Februari lalu dan menyelamatkan ummah serta negara apabila Yang di-Pertuan Agong sendiri berkenan mencemar duli menemui semua 222 Ahli Parlimen terlantik, lalu mengesahkan sebuah kerajaan baharu pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri Malaysia Ke-8.

Institusi Raja kita ini sebenarnya penerus tradisi untuk mengekalkan identiti negara bangsa lambang kedaulatan selaku payung mahkota negara.

Institusi Raja mungkin pelita lama, tetapi kekal memancarkan cahaya. Sesungguhnya pelita lama itu jangan terlalu cepat ingin dibuang kerana riak melihat fajar yang sudah menyingsing pada zaman moden.

Ingat, hari siang juga akan berakhir. Jangan nanti apabila senja menjelma lalu mendakap malam, warga mula teraba-raba, hilang haluan ditelan kegelapan malam semata-mata kerana pelita lama tersilap buang!

Atas sebab itu kedaulatan Raja-Raja Melayu dan keistimewaan bangsa Melayu serta peribumi dimeterikan dan dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan yang berasaskan dan bersandarkan kedaulatan watan yang dimaksudkan itu.

Oleh itu, amat dituntut peranan warga untuk memahami konsep institusi Raja Berperlembagaan ini dan betapa besarnya amanah dipikul Raja-Raja Melayu berdaulat berkaitan agama Islam dan perpaduan bangsa di bawah Perkara 153 Perlembagaan dan dipertegaskan Rukun Negara.

Sehubungan itu, kelima-lima Prinsip Rukun Negara yang diasaskan selepas perbalahan kaum paling buruk 13 Mei 1969 lalu adalah modul teras dan kerangka terbaik ke arah menyusun semula masyarakat majmuk yang kita warisi daripada British.

Lebih menyerlahkan lagi isu kedaulatan Raja-Raja dan dasar keistimewaan orang Melayu serta peribumi itu tidak boleh dipinda tanpa mendapat perkenan Majlis Raja-Raja seperti dinyatakan secara tegas dan terang lagi bersuluh dalam peruntukan Perkara 159 (5) Perlembagaan Persekutuan.

Norma baharu yang kita lalui kini dalam mengharungi pandemik COVID-19 juga memberi keprihatinan kepada pasak asas yang sudah terpahat kukuh menunjangi semangat dan roh Islam yang merahmati semua warga.

Itu adalah sejarah benar kita dan itu juga warisan leluhur tradisi kita. Daripada situ kita mula berkembang biak sehingga berdiri megah hari ini membawa sinar ufuk baharu untuk warga.

Jangan kita alpa untuk memahami erti sebuah kemerdekaan. Jangan ada lagi dalam kalangan pemimpin mahupun rakyat hari ini berani meleraikan asas leluhur yang orang tua kita bina serta pasak.

Itulah keringat, air mata dan darah yang pernah mengalir demi pertahankan kedaulatan sebuah Malaysia tanah air kita, tempat tumpahnya darah kita. -Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *