home Semasa Rasulullah ﷺ menyayangi negara sendiri

Rasulullah ﷺ menyayangi negara sendiri

 

1. DALAM Islam, semangat cintakan negara bukanlah suatu perkara yang dilarang. Sejarah Nabi ﷺ sendiri membuktikan bahawa Rasulullah adalah wargenagara yang amat menyayangi Mekah, tanah tumpah darah Baginda.

2. Ketika dalam perjalanan hijrah meninggalkan Mekah, Baginda ﷺ telah melalui satu kawasan yang dinamakan Juhfah. Ia adalah sempadan dibahagian utara negeri Mekah. Di sinilah Baginda memaling memerhatikan Mekah lalu bersabda:

ما أطيَبُكِ مِن بلدٍ، وما أحبُّكِ إلَيَّ، ولولا أن قومَكِ أخرَجُونِي مِنكِ ما سكَنتُ غيرَكِ

“Aku tidak temui negeri yang lebih baik dari engkau (wahai Mekah), dan tidak ada negeri yang lebih aku sayangi dari Mekah. Kalaulah bukan kerana kaummu (iaitu Quraysh) telah menghalauku, aku tidak akan tinggalkan negeri ini.”(HR al-Tirmizi).

3. Luahan ini menggambarkan betapa Rasulullah ﷺ amat menyayangi Mekah, ia bukanlah satu sifat yang terlarang kerana mencintai tanahair, tempat kita membesar adalah fitrah yang dialami oleh manusia.

4. Sifat cintakan tanahair ini dilihat berlaku secara konsisten setelah Rasulullah berhijrah ke Madinah. Baginda bersungguh membangunkan Madinah, membentuk suasana harmoni dikalangan semua kaum serta menyemaikan rasa cintakan Madinah.

5. Perkara ini dapat difahami melalui doa yang pernah dibacakan oleh Baginda ﷺ yang menyatakan:

اللهم حبِّبْ إلينا المدينةَ كحُبِّنا مكةَ أو أشدَّ

“Wahai Tuhan kami, lahirkanlah rasa cinta kami kepada Madinah seperti mana kami mencintai Mekah.” (HR al-Bukhari).

6. Malah lebih menarik lagi apa yang pernah disaksikan sendiri oleh Saidina Anas bin Malik iaitu pembantu Rasulullah ﷺ. Saidna Anas pernah bercerita:

“كان رسول الله إذا قدم من سفرٍ، فأبصر درجات المدينة، أوضع ناقتَه – أي: أسرع بها – وإن كانت دابة حرَّكَها”

“Sesungguhnya Rasulullah ﷺ itu, sekiranya Baginda pulang dari satu perjalanan yang jauh, apabila sampai sahaja di Madinah dan ternampak anak-anak tangga Madinah, (atau dinding-dinding rumah di Madinah) Baginda akan menggesa untanya supaya berjalan cepat, seakan-akan rindu untuk sampai di Madinah.” (HR al-Bukhari).

7. Ketika menghuraikan hadith ini, al-Imam Ibn Hajar menjelaskan bahawa cintakan tanahair bukanlah sesuatu perkara yang dicegah oleh syariat.
فقال في (فتح الباري): وفي الحديث دلالة على فضل المدينة، وعلى مشروعية حب الوطن، والحنين إليه

Semangat cintakan negara ini bukanlah suatu perkara yang asing di sisi manusia. Sesetengah kaum di dunia ini bersungguh dalam memumpuk anak bangsanya agar mencintai negaranya sepenuh jiwa raga.

8. Cintailah negara Malaysia ini. Jauhkan Malaysia dari penyelewengan fahaman dan pemikiran seperti pemikiran Liberal yang merosakkan kefahaman anak muda tentang Islam.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

 

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *